Penularan Covid-19 di Pulau Pinang masih terkawal
GEORGETOWN - Penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Pulau Pinang masih lagi terkawal walaupun sebelum ini dilaporkan empat kes positif dikesan sejak tiga hari lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengambil tindakan segera dengan perlaksanaan pelan tindakan serta merta untuk membendung penularan wabak berkenaan.
Menurutnya, melalui mesyuarat Taskforce Pengurusan Krisis Covid-19, MBSP membuat 13 ketetapan antaranya mengarahkan 3,091 tenaga kerjanya untuk kembali bertugas bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan di tempat-tempat awam khususnya di Seberang Perai Tengah (SPT) yang diisytihar sebagai zon kuning.
“Selain itu, MBSP juga perlu menjalankan disinfeksi di pasar-pasar awam serta Kaunter Berpusat (MBSP) secara harian berbanding dua hari sekali sebelum ini selain menumpukan pemantauan di kawasan berisiko tinggi.
“Penjaja tepi jalan di zon kuning juga hanya dibenarkan menjual secara bungkus sahaja yang mana aktiviti menjamu selera di gerai penjaja adalah tidak dibenarkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menutup tempat tumpuan ramai seperti pasar, pusat membeli belah dan taman rekreasi di kawasan zon kuning, Kon Yeow berkata, pihaknya tiada cadangan untuk berbuat demikian.
Katanya, 12 pasar awam yang sibuk di bawah pentadbiran MBSP juga akan dikawal oleh anggota polis dan penguat kuasa bagi memastikan pematuhan SOP oleh peniaga dan pengunjung.
Sementara itu, sehingga 10 Ogos lalu, kadar pematuhan SOP secara am bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) adalah pada kadar 99.55 peratus manakala MBSP (99.36 peratus).
Selain itu, kadar pematuhan SOP pemakaian pelitup muka di pasar-pasar awam pula adalah pada kadar 100 peratus bagi kedua-dua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.
“Dalam tempoh masa sama juga, sebanyak 13 premis makanan telah ditutup oleh MBSP kerana didapati gagal mematuhi SOP,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!