Jadilah manusia yang prihatin
Saya terbaca tulisan seorang guru dalam media sosial yang menyebut tentang kisah anak muridnya yang memakai pelitup muka yang dibasuh oleh ibunya. Malah ibu tersebut telah menjahit tali pelitup muka agar lebih tahan lama dan tidak putus apabila dipakai berulang kali oleh anaknya.
Mungkin kita tidak hairan jika pelitup muka itu diperbuat daripada kain kerana sememangnya ia boleh dibasuh berulang kali. Tetapi jika pelitup muka tersebut adalah jenis standard yang dijual di farmasi, tentu sekali kita akan berkata adalah tidak wajar ibu tersebut melakukannya begitu.
Kita mungkin tidak berada dalam situasi ibu berkenaan. Si ibu memang mahu melakukan yang terbaik untuk anaknya tetapi kekangan kewangan tentu sekali mendorongnya berbuat begitu. Kisah itu memberikan satu gambaran betapa pandemik Covid-19 ini telah memberi kesan yang sangat besar kepada perjalanan kehidupan seharian kita.
Semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia pada akhir tahun 2019, sudah tentu ramai yang mengalami masalah kewangan. Ramai yang kehilangan pekerjaan, ada juga yang dipotong gaji dan sebagainya yang mana situasi tersebut memberi kesan besar kepada mereka untuk menghadapi kehidupan seharian.
Sudahlah punca pendapatan hilang atau berkurang, dalam masa sama ada kos tambahan yang mereka kena tanggung ekoran Covid-19 yang sehingga hari ini belum hilang dari dunia ini. Ia ibarat, sudah jatuh ditimpa tangga. Kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan merupakan satu musibah dan kesukaran hidup makin bertambah apabila ada kos tambahan yang perlu ditanggung.
Kita mungkin mengatakan tidak banyak mana pun kos membeli pelitup muka dan sanitizer. Akan tetapi jika keadaan sekarang berpanjangan untuk tempoh yang lama, tentu sekali ia membebankan pihak yang menghadapi kekangan kewangan.
Sebenarnya, salah satu cara yang paling mudah tanpa melibatkan wang dalam usaha untuk mengurangkan kos tambahan itu ialah dengan adanya sifat bertanggungjawab dalam kalangan semua rakyat Malaysia agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Jika sebelum ini kita sudah berasa lega bila diumumkan Peraturan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memberikan gambaran bahawa kes jangkitan baharu walaupun masih ada tetapi ia dalam bilangan yang sedikit. Pada ketika itu pemakaian pelitup muka tidaklah menjadi satu kewajipan tetapi digalakkan.
Namun mulai 1 Ogos 2020, pihak berkuasa telah mewajibkan pemakaian pelitup muka apabila berada di tempat awam yang sesak dan pengangkutan awam. Arahan itu dibuat setelah angka kes baharu makin meningkat apatah lagi dengan wujudnya kluster baharu. Puncanya adalah kerana tidak mematuhi SOP.
Jika semua rakyat Malaysia sedar dan insaf tentang bahaya Covid-19 dan tidak mengambil mudah tentangnya, tentu sekali tidak akan berlaku seperti apa yang telah berlaku kini.
Jika kita semua boleh beri kerjasama menjaga SOP dan segala arahan pihak berkuasa dalam mengawal penularan virus berbahaya ini sebelum diwajibkan pada 1 Ogos tersebut, sudah tentu kita telah secara tidak langsung mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh mereka yang tidak berkemampuan untuk membeli pelitup muka dan sebagainya.
Akhir kalam, jadilah rakyat Malaysia yang prihatin dan sentiasa memberi kerjasama dalam mengekang penularan Covid-19 kerana sikap ini mempunyai impak besar kepada golongan yang susah. Janganlah kita melakukan satu tindakan yang menambah beban kepada golongan yang sudah berada dalam kesukaran kewangan. Wallahu a’lam.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!