Penguat kuasa, ini masa terbaik bersih nama

No Image Caption
A
A
A

Jepun antara negara paling teratur dan terkenal dengan rakyatnya yang berdisiplin terutamanya melibatkan budaya serta gaya hidup mereka sejak sekian lama.

Sikap dan kawalan kendiri rakyat Jepun sering menjadi rujukan dan panduan negara-negara lain. Mereka tidak perlu diajar tentang integriti dan mematuhi undang-undang kerana sudah sebati dalam hidup mereka.

Contoh paling mudah, apabila menghadapi gemba bumi, rakyatnya tidak panik sebaliknya mereka tahu apa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti. Hasil disiplin itu, anggota penguat kuasa Jepun juga mudah mengesan dan membantu rakyatnya yang terjejas akibat bencana.

Semua ini boleh diaplikasikan bukan sahaja di Jepun, malahan negara kita juga boleh melaksanakannya dengan syarat setiap anggota masyarakat dan penguat kuasa memahami peranan masing-masing.

Anggota masyarakat perlu mematuhi dan menghormati undang-undang manakala penguat kuasa perlu amanah serta menjauhi amalan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, proses itu tidak akan berlaku sekiranya kedua-dua pihak mempunyai perasaan tamak dan tidak takut kepada undang-undang.

Perubahan itu bukan sahaja merujuk kepada kes perjudian di Sungai Buloh yang tular baru-baru ini, ia juga termasuk jenayah lain seperti pelacuran, salah guna kuasa, pemerdagangan manusia, dadah dan sebagainya.

Minggu lalu, dua video tular menerusi laman sosial Facebook atas nama akaun Hot Burger Malaysia mendedahkan kegiatan premis mesin judi dan aktiviti penjualan rokok seludup serta operasi perniagaan haram dalam kalangan warga asing.

Artikel Berkaitan:

Respons terhadap isu itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi membanteras kegiatan haram itu di kawasan Sungai Buloh.

Sebenarnya, insiden yang berlaku itu adalah indikator terbaik pihak penguat kuasa untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Rukun Negara keempat.

Perlu diingat, sebuah negara yang stabil mempunyai sistem kawal selia bermula daripada masyarakat itu sendiri sehinggalah kepada pimpinan tertinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!