Pertembungan Berani Semuka dijangka tarik anak muda

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pertembungan dalam program Berani Semuka anjuran Sinar Harian antara mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang bakal berlangsung Jumaat ini di Studio F, Bangunan Kumpulan Karangkraf di sini mendapat pelbagai reaksi daripada pendakwah serta tokoh agama.

Pendakwah, Senator Ustazah Asmak Husin berkata, beliau melihat program tersebut sebagai satu medium yang bakal menarik anak muda untuk mendengar dan menonton.

Menurutnya, konsep demokrasi yang semakin menular pada hari ini menunjukkan anak muda gemar melihat senario politik menerusi debat secara terbuka seperti itu.

“Kita meraikan kaedah ini tapi debat itu perlulah mengikut tatacara iaitu berilmiah dan disertai fakta yang tepat.

“Ahli politik juga perlu ingat bila mereka berdebat, bukan saja perlu mempertahankan pandangan masing-masing tetapi memikirkan apa impak hujah itu kepada orang muda,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Namun beliau bagaimanapun tidak melihat pertembungan itu akan dapat memberi penyelesaian tuntas kepada isu TH dan secara dasarnya bersetuju dengan cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti isu TH.

“Selain itu, saya juga tidak melihat program ini sebagai cubaan membuka pekung di dada seperti didakwa. Sebaliknya ia hanya mengheret perbincangan di Parlimen untuk dibincangkan dalam topik lebih berfokus menerusi debat,” katanya.

Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong turut memberi pandangan senada bahawa beliau juga tidak melihat penyelesaian tuntas akan dicapai menerusi Berani Semuka kerana masing-masing (pendebat) dilihat akan membawa persepsi dan hujah masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kebarangkalian ada soalan tidak akan dijawab tetapi akan ditepis dengan tuduhan atau membawa kepada topik yang tiada kena mengena.

“Isu TH perlu dibincangkan dengan fakta yang jelas bukannya berdasarkan sangkaan dan permainan perkataan.

“Sekurang-kurangnya perlu dibawa sekali penonton live di situ yang berkecuali untuk bertanya soalan teknikal agar masyarakat didedahkan dengan cara pemikiran yang kritis,” katanya ketika dihubungi.

Tegasnya, penyokong kedua-dua pihak juga perlu rasional dan tidak taksub kepada parti politik

“Apa yang penting hentikan polemik TH dan jangan menggunakan TH sebagai modal politik untuk menyerang pihak yang kita kurang bersetuju.

“Selain itu, program ini juga bukan membuka pekung atau untuk mengaibkan tetapi isu ini melibatkan kepentingan negara dan umat Islam.

“Jikalau masih tidak berpuas hati, maka hentikan sahaja perbahasan di media tetapi masing-masing membuat laporan polis dan meminta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau pihak berkuasa melakukan siasatan,” katanya.

Seorang lagi pendakwah, Ustaz Mohd Khairul Azman atau MK Azman pula berkata, beliau melihat kaedah Berani Semuka itu sebagai salah satu cara untuk memberi kefahaman kepada orang awam tentang isu yang ditimbulkan.

“Walaupun ia tidak menyelesaikan keseluruhan masalah namun ia setidak-tidaknya dapat merungkai kekeliruan dalam kalangan orang awam.

“Cuma diharapkan mujadalah ini dapat dilakukan dengan cara yang harmoni dan tiada provokasi, sama-sama cari jalan penyelesaian dan bukannya untuk memalukan saudara seMuslim,” katanya.

Menurutnya, untuk penyelesaian tuntas perbincangan sepatutnya dibuat oleh kedua-dua pendebat dengan banyak pihak secara serius dan mendalam dengan mengambil kira pelbagai aspek.

Terdahulu, kerajaan dilaporkan bersedia mempertimbangkan cadangan dan kewajaran menubuhkan RCI berhubung pelbagai isu yang dikaitkan dengan Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, siri cadangan yang diutarakan pihak berkaitan demi merungkai polemik mengenai TH akan diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat yang akan membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan isu TH termasuk cadangan dan kewajaran penubuhan RCI.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!