ATM kaji penggunaan teknologi 5G

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengkaji dan mengenalpasti sebarang ancaman keselamatan dan kedaulatan negara melibatkan penggunaan teknologi generasi kelima (5G) sebelum diterima pakai di negara ini.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata hasil kajian berkenaan akan diserahkan kepada kerajaan bagi membuat keputusan sama ada teknologi 5G itu diterima atau sebaliknya.

Zulkifli berkata setiap teknologi baharu yang masuk dari luar negara perlu diteliti dengan melihat kesesuaian penggunaannya di negara ini.

“Kita jangan mudah ikut negara lain berhubung penggunaan teknologi baharu, tidak semua teknologi itu bagus. Kami yakin Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga sedang melaksanakan kajian ini dan ATM juga mempunya cari sendiri untuk buat kajian teknologi baharu.

“ATM akan memberikan pandangan kepada kerajaan berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Persatuan Alumni Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak, di sini.

Mengulas lanjut perkara itu, Zulkifli berkata antara perkara diberi perhatian adalah menangani teknologi baharu jika penggunaannya terdapat sebarang unsur serangan siber dan mengumpul maklumat yang sensitif.

Beliau berkata ATM perlu melihat dari segi berlakunya serangan siber, perisikan siber jika ia mudah dilakukan dengan adanya teknologi tertentu.

“Maka untuk menghalang ancaman berkenaan, kami perlu ada langkah pencegahan yang bersesuaian untuk diambil oleh negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sabtu lepas, semasa di London, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan menjalankan kajian terlebih dahulu untuk mendapatkan butiran sebelum bertindak menyekat syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei, daripada membina infrastruktur 5G di Malaysia, susulan kebimbangan berhubung pengintipan siber yang semakin meningkat dalam kalangan negara barat.

Pada Selasa lepas, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata Malaysia perlu berwaspada terhadap peningkatan teknologi 5G yang dipelopori China berikutan keupayaannya mencetuskan ancaman keselamatan siber dan digital terhadap negara.

Ini termasuk menjalankan ujian pada peranti digital termasuk dari Huawei, untuk memastikan tiada ancaman pengintip siber yang terlibat.

Terdahulu, majlis berkenaan dihadiri lebih 2,000 alumni terdiri daripada yang menamatkan pengajian di UPNM sejak penubuhannya pada tahun 2006.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!