8 ADUN Sabah intai talian hayat bertanding atas tiket UMNO
KOTA KINABALU – Lapan wakil rakyat Sabah yang bertukar parti dari UMNO ke Parti Warisan Sabah (Sabah) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kini didakwa mencari 'talian hayat' untuk kembali menyertai UMNO.
Menurut laporan Sin Chew Daily, kesemua lapan Ahli Dewan Undangan Negeri itu (ADUN) itu juga dikatakan sudah menyatakan sokongan untuk membentuk kerajaan baharu Sabah di bawah pimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pada 29 Julai lalu.
Mereka adalah ADUN Tempasuk, Musbah Jamli; Hamisa Samat (Tanjong Batu); Abd Muis Picho (Sebatik); Osman Jamal (Balung); Bolkiah Ismail (Pitas); Saddi Abdul Rahman (Sukau); Jamawi Jaafar (Kemabong) dan James Ratib (Sugut).
Menurut laporan itu lagi, kesemua ADUN berkenaan sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding semula di kawasan masing-masing mewakili UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang.
Bagaimanapun, perkara itu difahamkan masih dalam peringkat pertimbangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin.
Tidak cukup dengan itu, beberapa calon UMNO yang tumbang pada PRU14 dan kemudian meninggalkan parti itu turut mengintai peluang kembali kepada UMNO bagi mendapat peluang bertanding PRN Sabah dan PRU15.
Namun begitu, kebanyakan pemimpin akar umbi Sabah difahamkan kurang menyenangi hasrat mereka selain meragui kesetiaan mereka terhadap UMNO.
Hal ini susulan tumbangnya kerajaan Sabah pimpinan Musa selepas PRU14 adalah disebabkan tindakan ADUN-ADUN berkenaan yang lompat parti.
Bahkan, terdapat kebimbangan rakyat Sabah muak dengan tindakan wakil rakyat masing-masing yang sering lompat parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!