Jangan pertikai institusi kehakiman negara
GEORGETOWN - Jangan memperlekeh dan menghina sistem perundangan serta institusi kehakiman negara.
Itu peringatan yang diberikan oleh Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim kepada parti politik yang mahu mempertahankan pemimpin mereka terpalit dengan skandal rasuah.
Menurutnya, semua parti politik dan rakyat Malaysia perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan seperti termaktub dalam Prinsip Rukun Negara.
"Sistem perundangan dan badan kehakiman umpama injap keselamatan yang tanpanya demokrasi tidak dapat berkembang. Atas landasan itu, ia harus dilindungi, integriti dan keupayaannya harus dihargai dan tindakan menghormati keputusan mahkamah harus dipertahankan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang berkata, tidak kira apa sahaja ideologi politik, masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya menghina sistem yang telah lama kita laksanakan dan hormati di negara ini.
Tegasnya, tidak timbul isu pilih kasih dalam proses keadilan dan tidak ada perbezaan antara rakyat dan mereka yang berdepan dengan dakwaan pihak berkuasa seperti kes membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang terpalit dengan pertuduhan rasuah, baru-baru ini.
"Jangan kita menjadi sebagai rakyat yang tidak mempunyai nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan dengan membuat pertikaian dan tidak menghormati institusi kehakiman kita.
"Ingin saya menegaskan tidak ada tempat di negara ini untuk mereka yang biadab dan tidak menghormati Rukun Negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!