Trio compound setuju wakili skuad kebangsaan

No Image Caption
A
A
A

TRIO memanah compound negara membuat pusingan U dengan menarik balik keputusan tersebut selepas mendapat penjelasan mengenai beberapa perkara dengan Majlis Sukan Negara (MSN) setelah membuat kejutan enggan mewakili negara minggu lalu,

Keputusan untuk terus bersama skuad negara dicapai selepas Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan pegawai Persekutuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) di sini semalam.

Mohd Juwaidi, yang ditemui pemberita selepas perjumpaan berkenaan, memaklumkan mereka bersetuju kembali mewakili negara setelah mendapat penjelasan mendalam daripada Ahmad Shapawi berhubung kontrak mereka dengan MSN.

“Fokus kami selepas ini adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukan Sea 2019 di Filipina, cuma soal elaun rendah yang dilaporkan di media sosial dan arus perdana adalah tidak betul.

“Soal peletakan jawatan yang saya bangkitkan sebelum ini adalah satu ‘wake up’ call kepada MSN supaya lebih mudah dibawa berbincang tentang soal atlet dan sebagainya, namun saya berpuas hati dengan hasil perjumpaan hari ini,” katanya.

Pemenang dua pingat emas Sukan Sea KL 2017 itu memaklumkan, beliau tidak boleh menjalani latihan sepenuh masa di Bukit Jalil, ketika ini kerana perlu memberi fokus kepada perniagaan peralatan memanah yang dijalankan di negeri kelahirannya, Melaka.

Berkongsi pandangan sama adalah Zulfadli yang bertekad untuk kembali membantu skuad negara selepas ini sambil memaklumkan MSN akan memantau prestasi mereka setiap enam bulan.

“Penarikan diri kami bertiga daripada skuad kebangsaan sebelum ini tiada kena mengena dengan soal elaun rendah dan sebagainya, namun disebabkan kita tidak berapa setuju dengan beberapa perkara dalam kontrak kita bersama MSN,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Kin Lip pula mengharapkan isu berkenaan dapat dilupakan bagi memastikan skuad compound negara dapat meraih keputusan positif pada Sukan Sea 2019, November depan.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata, hubungan renggang antara MSN dan trio berkenaan berpunca daripada salah faham berhubung kontrak mereka dan atlet berkenaan bersetuju kembali bersama MSN selepas diberi penerangan.

“Saya harapkan keputusan ini dapat membantu mereka membuat persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Sea 2019,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!