Harga pelitup muka mungkin diturunkan lagi
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menolak kemungkinan harga siling pelitup muka diturunkan di bawah RM1 pada masa akan datang.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu bergantung kepada pasaran dan kemampuan pengilang kepada produk kawalan tersebut.
"Sasaran (kita) harga balik kepada 90 sen atau kurang (tetapi ia) berdasarkan situasi.
"Kalau kita boleh (turunkan harga kepada) 70 sen, tetapi saya tidak mahu berjanji dulu," katanya pada sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan sememangnya sentiasa komited untuk membantu rakyat yang terbeban selepas pemakaian pelitup muka diwajibkan ketika berada di tempat awam atau sesak mulai 1 Ogos lalu.
Terdahulu, Isnin lalu, KPDNHEP mengumumkan harga pelitup muka diturunkan kepada RM1 sekeping berbanding RM1.50 yang ditetapkan sebelum ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Alexander turut mengingatkan peniaga agar tidak menjual pelitup muka melebihi harga siling RM1 yang ditetapkan.
Katanya, peniaga yang didapati melanggar arahan itu akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!