Empat stesen JPJ diwujud tangani isu kenderaan berat

Shaharuddin (tengah) bersama Azman (empat kiri) teruja merasmikan bangunan Stesen JPJ baharu ditempatkan di Hentian R&R Gunong Semanggol arah selatan dekat Bagan Serai hari ini.
Shaharuddin (tengah) bersama Azman (empat kiri) teruja merasmikan bangunan Stesen JPJ baharu ditempatkan di Hentian R&R Gunong Semanggol arah selatan dekat Bagan Serai hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) bakal mewujudkan tambahan empat lagi stesen JPJ di kawasan selatan dan pantai timur di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur pada masa hadapan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pelancaran stesen JPJ baharu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunong Semanggol arah selatan adalah yang kedua selepas stesen JPJ di Hentian R&R Dengkil, Selangor dan seramai 20 anggota bakal ditempatkan di stesen baharu itu.

"Kehadiran anggota JPJ mengadakan penguatkuasaan undang-undang di lebuhraya amat penting terutama dalam menangani isu-isu berkenaan kenderaan berat seperti penggunaan tayar celup tidak mengikut standard ditetapkan, membawa muatan berlebihan dan lain-lain perkara kritikal.

"Umum mengetahui kebanyakan isu halangan atau objek di atas lebuhraya berpunca daripada kenderaan berat seperti serpihan tayar, kayu, besi dan lain-lain objek mendatangkan bahaya kepada pengguna kenderaan lain," katanya sewaktu merasmikan stesen JPJ baharu di Hentian R&R Gunong Semanggol, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan JPJ, Datuk Ahmad Nasir Ab Gani dan Pengarah JPJ Perak, Mohd Zawawi Zakaria.

Shaharuddin(dua kiri) memantau kakitangan JPJ yang menjalankan tugasan pemeriksaan kenderaan berat di Stesen JPJ Hentian R&R Gunong Semanggol hari ini.
Shaharuddin(dua kiri) memantau kakitangan JPJ yang menjalankan tugasan pemeriksaan kenderaan berat di Stesen JPJ Hentian R&R Gunong Semanggol hari ini.

Shaharuddin berkata, sehingga Disember 2018, berdasarkan statistik sebanyak 1,566 kes kemalangan melibatkan pelanggaran objek di lebuhraya dikendalikan PLUS berbanding tahun 2017 sebanyak 1,704 kes.

Menurutnya, kes kemalangan tertinggi dicatatkan di Lebuhraya Utara Selatan dan melibatkan pelanggaran serpihan tayar.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, berdasarkan statistik juga, sebanyak 17,152 jumlah objek dikutip di lebuhraya kendalian PLUS pada tahun 2018 dengan 48 peratus daripadanya berpunca serpihan tayar.

"Berdasarkan statistik juga, sebanyak 17,152 jumlah objek dikutip di lebuhraya kendalian PLUS pada tahun 2018 dengan 48 peratus daripadanya berpunca serpihan tayar.

"Bagi membendung perkara ini, penguatkuasaan dipertingkatkan dan JPJ mengambil tindakan ke atas 3,370 kenderaan bagi kesalahan tayar tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Diharapkan dengan kewujudan stesen JPJ baharu akan membantu mempercepatkan respon dalam kalangan kakitangan JPJ dan memastikan kerja menangani pesalah trafik di lebuhraya menjadi lebih efisien," katanya.

Sebahagian anggota JPJ bertugas di Stesen JPJ Hentian R&R Gunong Semanggol, dekat Bagan Serai sudah menjalankan tugas memeriksa kenderaan berat.
Sebahagian anggota JPJ bertugas di Stesen JPJ Hentian R&R Gunong Semanggol, dekat Bagan Serai sudah menjalankan tugas memeriksa kenderaan berat.

Dalam perkembangan lain, Shaharuddin menegaskan kesemua jenis pemanduan kenderaan barangan dilarang menggunakan laluan tertentu ditetapkan JPJ di seluruh negara sepanjang lima hari sebelum dan selepas perayaan Tahun Baharu Cina bermula 2 hingga 10 Februari hadapan.

Menurutnya, larangan itu ditetapkan pada tarikh 2 hingga 4 Februari sebelum perayaan Tahun Baharu Cina dan 9 hingga 10 Februari pada hari selepas perayaan.

Katanya, larangan terhadap kenderaan barangan dagangan itu dikuatkuasakan bagi memastikan kelancaran trafik perjalanan orang ramai pergi dan pulang dari kampung halaman masing-masing.

"Bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang, JPJ turut melancarkan operasi penguatkuasaan selama dua minggu iaitu dari 29 Januari hingga 12 Februari tidak termasuk dua hari cuti umum perayaan itu.

"JPJ juga akan turut menempatkan kenderaan jabatan itu secara statik di laluan kecemasan lebuhraya bagi mempertingkatkan kesedaran Perception of Being Caught (POBC) dalam kalangan semua pengguna jalan raya.

"Selain itu, satu operasi dipanggil Ops Sisih dan pemeriksaan bas di depoh juga akan dilancarkan bermula pada 22 hingga 28 Januari ini sebagai aktiviti pra-operasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2019," katanya.

Shaharuddin berkata, sejumlah 2,000 anggota JPJ akan dilibatkan dalam setiap operasi perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti mereka dibekukan bagi tujuan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!