20,000 masuk Bersatu selepas Tun M tubuh Pejuang
SHAH ALAM - Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menjejaskan kestabilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sebaliknya Menteri Dalam Negeri itu berkata, sejak Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu, Bersatu menerima lebih banyak permohonan keahlian.
"Saya nak maklumkan, hari mereka kata nak tubuh (parti baharu), saya terima hari itu saja 20,000 borang baharu nak sertai parti Bersatu.
“Keluar enam orang masuk 20,000,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Menurut beliau, tidak banyak bahagian Bersatu yang terjejas kepada parti persaingannya itu.
"Kita akan bekerja kuat untuk pastikan parti kita bertambah teguh. Minggu ini saja hampir 187 bahagian akan bersidang.
"Daripada 187 itu, yang tak boleh bersidang hanya lebih kurang 10 bahagian saja.
"Ini membuktikan, kadang-kadang orang ini suka cakap bising di luar tapi kosong di dalam. Yang kita lakukan ini adalah senyap,” katanya.
Malam tadi, Dr Mahathir mengumumkan parti baharu yang ditubuhkannya baru-baru ini akan dikenali sebagai Pejuang.
Pengumuman itu dibuat pada majlis memperkenalkan calon parti tersebut bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!