Pak Arab kutip derma, ini penjelasan KQT
KUALA TERENGGANU - Kolej al-Quran Terengganu (KQT) menafikan dua lelaki dipercayai berbangsa Arab yang melakukan aktiviti kutipan derma di sekitar bandar ini adalah dari kolej itu.
KQT menerusi satu kenyataan rasmi hari ini berkata, pihaknya tidak pernah mengarahkan mana-mana kakitangan mengutip derma dari rumah ke rumah.
"KQT ingin menafikan kisah tular di laman sosial Facebook mengenai pemungut derma yang mendakwa mereka adalah kakitangan kolej ini.
"Kami tidak pernah mengeluarkan arahan bertulis atau lisan kepada mana-mana kakitangan untuk mohon kutipan derma atau sumbangan," katanya.
Kenyataan itu turut memaklumkan pihak KQT kesal dengan penyalahgunaan nama institusi itu dan akan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
"Pihak pengurusan akan membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.
"Kami juga memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kejadian di balai polis berdekatan sekiranya dikunjungi individu terbabit," katanya.
Institusi pengajian itu sebelum ini dikenali sebagai nama IQ Terengganu sebelum menggunakan nama KQT bermula 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!