Juara bertahan angkat berat patah lutut
MOSCOW - Juara bertahan kejohanan Eropah World Raw Powerlifting Federation (WRPF) Rusia mengalami patah kedua-dua lutut semasa mengangkat beban seberat 400 kilogram (kg).
Menurut 7news, Alexander Sedykh dikejarkan ke hospital setelah dia terjatuh ketika cuba mengangkat berat di mana ketika itu kedua kakinya bergetar sambil memegang barbell di bahu dalam keadaan membongkok.
Dia yang kelihatan tidak selesa lalu mencangkung dan secara tiba-tiba badannya melengkung ke belakang kerana tekanan berat mengakibatkan dia terjatuh.
Kejadian ngeri itu menunjukkan Sedykh berusaha mengangkat berat 400kg namun dia jatuh ke lantai sambil menangis kesakitan.
Pegawai perubatan membawanya ke hospital di mana dia menjalani pembedahan selama enam jam di bahagian kakinya.
Katanya, syukurlah barbell jatuh di belakang dan berjaya ditangkap oleh pembantu bagi mengelakkan kecederaan lebih teruk di punggung.
Akibat kejadian itu, Sedykh patah kedua-dua lutut dan patah otot paha hadapan.
"Perkara utama ialah saya mesti terbaring di tempat tidur selama dua bulan," kata Sedykh.
Setelah dia pulih dari pembedahan, Sedykh mengatakan dia harus belajar bagaimana untuk berjalan dan akan mengambil masa untuk pulih.
Sedykh bagaimanapun tidak memberitahu adakah dia akan meneruskan karier angkat berat sebaik pulih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!