Luqman Hakim selamat tiba di bumi Belgium
PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brussels, Belgium sebentar tadi.
Luqman Hakim berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada pukul 2.05 pagi tadi dengan ditemani ibu bapanya iaitu Shamsudin Mahmood dan ibunya, Hasmah Che Soh serta ahli keluarga terdekat.
Sebaik menjejakkan kaki di bumi Eropah itu, Luqman Hakim disambut oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia ke Belgium, Prisheela Prakas.
Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 18 tahun itu terlebih dulu akan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum menyertai kelab Liga Pro Belgium, KV Kortrijk.
Difahamkan, Luqman Hakim yang juga produk sulung Akademi Mokhtar Dahari akan menyarung jersi nombor 9 selepas perkara itu didedahkan KV Kortrijk menerusi satu video yang dimuat naik dalam laman sosial Twitter kelab tersebut.
Minggu lalu, Luqman Hakim secara rasmi telah menandatangani kontrak selama lima tahun dengan KV Kortrijk yang dimiliki oleh ahli perniagaan terkemuka Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!