Jangan main-main dengan kuasa tular
MINGGU ini kita dikejutkan dengan pendedahan berani oleh seorang peniaga di Sungai Buloh, Selangor. Pendedahannya melalui siaran langsung di Facebook itu mendapat perhatian banyak pihak termasuklah daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Susulan itu, ratusan pegawai daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), polis dan badan terlibat membuat serbuan dan meruntuhkan struktur yang tidak dibenarkan di sekitar kawasan Sungai Buloh.
Pengajaran yang kita dapat peroleh daripada kejadian itu ialah kuasa tular sangat kuat. Dengan isu yang dekat dengan semua orang, ia akan terus meletup dan membuatkan pihak tertentu melompat dari tempat duduk.
Bagaimanapun, Merak Jalanan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati menggunakan kuasa tular kerana jika tersalah langkah ia akan memudaratkan diri sendiri.
Memang di sekeliling kita berlaku bermacam-macam perkara yang tidak sedap dipandang mata, tetapi kita masih ada cara lain lagi untuk menyelesaikannya.
Sebagai contoh, jika kita ternampak gerai dibuka di atas parkir, kita boleh menegur peniaga tersebut kerana tindakannya itu menyalahi undang-undang ataupun terus membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan.
Sekiranya aduan itu masih tidak ada apa-apa tindakan, kita masih boleh buat aduan susulan.
Selepas semua usaha dilakukan tidak ada apa-apa perkembangan, mungkin pengadu boleh cuba pula mengadu kepada media terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya media boleh dapatkan komen daripada pihak berwajib sebelum mengeluarkan berita tersebut.
Tetapi jika semuanya tidak jalan, barulah kita gunakan kuasa tular sebagai usaha terakhir.
Semoga isu ini menjadi titik tolak kepada penguatkuasaan yang lebih tegas dan adil pada masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!