MFL elak tempoh Liga-M lebih panjang
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu menimbangkan beberapa perkara sebelum membuat keputusan sama ada akan menambah hari rehat dalam jadual saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bersambung semula 26 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah bersedia dengan beberapa cadangan selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan penundaan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tahun depan.
“Sebenarnya penangguhan itu satu perkara baik untuk penyambungan Liga-M sebab sebelum ini kita tidak ada tarikh reserve atau hari simpanan sekiranya ada berlaku apa-apa yang tidak mengizinkan nanti.
“Bagaimanapun, perkara ini kita akan berbincang di peringkat Lembaga Pengarah MFL dan kalau kita boleh menghabiskan liga dan Piala Malaysia pun mungkin sehingga minggu pertama bulan November sahaja.
“Apa-apa pun Lembaga Pengarah MFL akan berbincang dulu mengenai perkara itu dalam satu mesyuarat sebelum kita mengumumkan keputusannya nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pada masa sama, Ab Ghani memberitahu, pihaknya mengharapkan Liga-M musim ini dapat ditamatkan dengan lebih cepat memandangkan situasi tidak menentu pandemik Covid-19.
“Sebolehnya kita tak boleh nak panjangkan masa lagi sebab kita tak tahu macam mana keadaan Covid-19 pada masa akan datang. Kenyataan menteri (Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang mengatakan tarikh liga itu kekal satu petanda baik.
“Tetapi kita kena habiskan seberapa segera yang mungkin. Kalau tidak bila baru mula empat perlawanan, kita dah kena berhenti semula. Jadi banyak perkara yang perlu kami lihat selaku pengendali liga.
“Bukan sahaja kami melihat kepada jadual Liga-M semata-mata tetapi kita juga menilai melalui situasi semasa pandemik Covid-19 yang berlaku di negara ini,” katanya.
Berdasarkan jadual yang dikeluarkan MFL, saingan Liga-M membabitkan aksi Liga Super dan Liga Premier dijangka berakhir pada 23 September manakala kempen Piala Malaysia berlangsung mulai 17 Oktober hingga 7 November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!