Masjid di Xinjiang dinaik taraf
URUMQI - Pemerintah tempatan di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, barat laut China telah menaik taraf beberapa buah masjid dalam beberapa tahun kebelakangan ini demi menambahkan keselesaan umat Islam beribadat serta melakukan aktiviti keagamaan.
Antara masjid yang menerima manfaat tersebut termasuklah Masjid Rastjama di bandar Aksu.
Imam masjid berkenaan, Mamat Ahat memberitahu, pada asalnya Masjid Rastjama bersaiz kecil dan binaan asasnya diperbuat daripada tanah liat dan kayu pada tahun 1980-an.
“Sebelum ini, kemudahan termasuk air, elektrik dan sistem pemanas sudah usang sejak 30 tahun lalu.
“Kami memang sudah mendambakan keadaan masjid ini untuk dinaik taraf sejak sekian lama,” katanya.
Difahamkan, pemerintah tempatan telah membangunkan tanah seluas 5,300 meter persegi untuk projek pembinaan sebuah masjid baharu yang mempunyai dewan solat seluas 1,400 meter persegi yang mampu menampung 1,200 jemaah pada satu-satu masa.
“Keadaan sekarang lebih baik. Masjid yang baharu dilengkapi pendingin hawa untuk musim panas dan sistem pemanas untuk musim sejuk selain tandas serta tempat wuduk,” ujar Ahat.
Sementara itu, di kaunti Lop, daerah Hotan di selatan Xinjiang pula menyaksikan pembinaan semula Masjid Tawugazi yang berusia 40 tahun selepas didapati retakan pada bahagian dinding di dewan solat.
“Masjid baharu ini mampu menahan gegaran gempa bumi berskala 8 magnitud selain turut dilengkapi sistem penyaman udara dan pemanas bawah lantai,” kata Imam Ahmet Mehmut.
Pengarah Suruhanjaya Hal Ehwal Etnik Wilayah Xinjiang, Mehmut Usman pula dalam reaksinya mengenai proses naik taraf masjid berkata, melalui pelbagai usaha seperti pembinaan baharu atau peluasan yang dilakukan sejajar dengan perancangan pembinaan bandar dan luar bandar, wilayah ini telah menaik taraf keadaan masjid sekali gus memenuhi keperluan penganut Islam, hingga disambut baik oleh tokoh-tokoh agama dan umat Islam. - Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!