Perobohan masjid di Xinjiang tidak benar
URUMQI - Berita masjid-masjid di wilayah Xinjiang dirobohkan secara paksaan adalah tidak benar sama sekali, kata Pengarah Suruhanjaya Hal Ehwal Etnik Wilayah Xinjiang, Mehmut Usman.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons terhadap laporan kebebasan beragama antarabangsa oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu yang mendakwa Xinjiang bertindak merobohkan masjid.
Beliau berkata, tempat-tempat ibadat boleh dibuka kepada setiap penganut agama untuk menjalankan aktiviti keagamaan, asalkan tempat berkenaan berdaftar dengan kerajaan dan operasinya dikendalikan di sisi undang-undang.
Tambah Usman, Masjid Jami dan Masjid Idkah yang didakwa AS telah dirobohkan sebenarnya masih utuh dan dipelihara dengan baik.
“Xinjiang selalu mementingkan pemuliharaan masjid. Pemerintah di semua peringkat di wilayah ini bukan hanya membantu dan menyokong projek pembaikpulihan masjid, tetapi turut memastikan hak warga Islam mengamalkan ajaran mereka terjamin,” katanya.
Difahamkan, beberapa buah masjid di Xinjiang telah dibina sejak 1980-an dan 1990-an atau lebih lama lagi dengan banyak kemudahan dimamah usia sekali gus membahayakan keselamatan.
“Pembinaan baharu dan penambahbaikan yang dilakukan di lokasi asal sejajar dengan perkembangan semasa dan mengikut perancangan pembangunan bandar-luar bandar.
"Kami telah membaiki keadaan masjid bagi memenuhi keperluan penganut agama dan turut disambut baik oleh mereka,” katanya.
Sementara itu, Abdukerim Mamut, petugas di Masjid Jami yang terletak di daerah Yecheng berkata, masjid berkenaan pada awalnya didirikan pada tahun 1540 dan diperluas pada tahun 1860.
Tambahnya, masjid tersebut melalui beberapa proses baik pulih pada tahun 1937, 2014 dan 2019.
“Sebagai tapak warisan sejarah, pemerintah membaik pulih masjid ini tahun lalu untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada jemaah,” katanya.
Elijan Anayit, jurucakap Pejabat Penerangan Wilayah Xinjiang pula berkata, pemerintah tidak melaksanakan sekatan terhadap amalan tradisional tempatan, antaranya adat istiadat perkahwinan, upacara pengebumian dan pemberian nama Islam.
Katanya lagi, pemerintah juga tidak pernah memaksa etnik minoriti yang biasanya mengebumikan ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia untuk bertukar kepada upacara pembakaran
mayat.
“Dakwaan AS bahawa tapak perkuburan Sulitan di Hotan dan perkuburan Tazhong di Aksu yang diruntuhkan adalah dusta semata-mata.
“Sebenarnya, kedua-dua tapak perkuburan itu masih ada dan dipelihara dengan baik,” kata Anayit. -Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!