Mahkamah tolak permohonan Najib batal pinda laporan audit 1MDB

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan pertuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikenakan terhadapnya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan berkenaan selepas berpendapat pertuduhan yang dikenakan tidak mengelirukan seperti mana yang didakwa Najib.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Mohamed Zaini berkata, terdapat keperluan untuk memastikan adakah laporan itu benar-benar selesai dan jika demikian, apakah laporan itu telah diubah atau sebaliknya.

Menurutnya, terlalu awal untuk mempertimbangkan permohonan bagi menggugurkan pertuduhan ketika ini.

Ini kerana katanya, saksi yang dipanggil belum selesai memberi keterangan, yang mana kebiasaan, ia dibuat dalam perbicaraan setelah selesai pemeriksaan balas.

“Adakah bijaksana untuk membuat penentuan akhir mengenai kes pendakwaan pada tahap ini? Saya rasa tidak.

“Maka permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dibuat oleh Najib adalah pramatang. Saya menolak permohonan pemohon,” katanya.

Sebelum ini, pasukan pembelaan Najib yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan, atas dasar ia tidak akan menyebabkan prejudis atau ketidakadilan kepada tertuduh.

Pada 12 Disember 2018, Datuk Seri Najib Razak didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa, dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri ketika itu, menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagi permohonan ini, ia dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli dan Hazmida Harris Lee manakala Najib diwakili Peguam Nur Syahirah Hanapiah.

Perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB terhadap Najib dan Arul dijadual bersambung pada 24 Ogos ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!