PRK DUN Slim: SPR tidak benarkan calon berarak bersama penyokong
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan semua calon berarak bersama penyokong bagi penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, esok.
Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak berkata, hanya calon, seorang pencadang dan seorang penyokong calon dibenarkan memasuki pusat penamaan calon.
Katanya, calon juga tidak dibenarkan mengadakan sebarang aktiviti berkumpulan sepanjang proses penamaan itu.
Beliau berkata, ia antara perkara yang disenaraikan dalam Garis Panduan Pencegahan koronavirus (Covid-19) bagi pelaksanaan pilihan raya yang diguna pakai sepanjang PRK DUN N.58 Slim, Perak.
"Garis panduan ini akan diguna pakai sepanjang PRK DUN Slim kerana ia dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.
"Perkara utama yang diketengahkan adalah pematuhan kepada penjarakkan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan proses saringan suhu badan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ikmalrudin menjelaskan, garis panduan itu akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya termasuk taklimat petugas; penamaan calon; proses cetakan dan semakan kertas undi; pengeluaran dan pengiraan undi pos; semakan isi peti undi; sepanjang tempoh berkempen; hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.
Ujarnya lagi, sepanjang tempoh berkempen, garis panduan itu menetapkan setiap calon yang bertanding dibenarkan membuka Bilik Jawatankuasa (Bilik Gerakan Parti) dengan pematuhan kepada penjarakkan fizikal, pemakaian pelitup muka, saringan suhu badan dan penggunaan cecair pembasmi kuman.
"Bagi aktiviti ceramah pula, jumlah kehadiran peserta hendaklah tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat, tertakluk kepada keluasan ruang.
"Permit daripada PDRM untuk aktiviti berceramah adalah wajib manakala aktiviti ziarah rumah ke rumah pengundi pula, calon atau wakil juga tidak dibenarkan untuk bersentuhan atau bersalaman dengan penghuni rumah.
"Calon digalakkan memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media sosial.
Beliau berkata, SPR melalui dua Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya (PPKPR) akan memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap garis panduan khas itu.
"Pada hari mengundi, semua pengundi diwajibkan memakai pelitup separuh muka, melalui proses saringan suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengamalkan penjarakkan fizikal. Cecair pembasmi kuman akan dibekalkan di semua pusat mengundi pada hari mengundi kelak.
"Pengundi perlu melalui penggunaan cecair pencuci tangan itu di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.
"Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi," katanya.
Tambah Ikmalrudin, pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.
"Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut manakala individu yang diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian serta individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi.
"Bagi kehadiran di pusat penjumlahan rasmi undi, calon yang bertanding berserta penyokong calon yang menang akan dibenarkan hadir dalam jumlah yang minimum," katanya.
Katanya, SPR akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memantau pematuhan Garis Panduan khas ini.
"SPR akan mengemaskini Garis Panduan ini selaras dengan apa-apa arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.
Maklumat lanjut mengenai garis panduan boleh didapati dari laman sesawang SPR iaitu www.spr.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!