Doktor Korea Selatan lancar mogok seluruh negara
SEOUL - Doktor di Korea Selatan melancarkan mogok sehari pada Jumaat sebagai membantah rancangan pembaharuan perubatan kerajaan, dengan beberapa gangguan dijangka tidak dapat dielakkan, lapor agensi berita Yonhap.
Mogok itu adalah sebahagian daripada bantahan kuat Persatuan Perubatan Korea (KMA) terhadap rancangan pemerintah untuk menaikkan kuota kemasukan ke pusat pengajian perubatan.
Antara yang turut serta adalah pengamal perubatan di klinik kecil dan beberapa doktor pelatih, seperti pelatih dan penduduk di hospital umum, kata KMA.
Namun, doktor yang bekerja di bidang penting seperti unit rawatan rapi, pembedahan dan bilik kecemasan terus bertugas seperti biasa.
Pihak berkuasa kesihatan berkata, mereka tidak menjangkakan adanya gangguan besar kerana hospital menggerakkan pekerja kesihatan alternatif dan doktor di jabatan penting tidak ikut serta.
Ia merupakkan mogok ketiga terbesar KMA sejak dua dekad yang lalu, selepas tahun 2000 dan 2014. Minggu lalu, doktor pelatih di hospital besar melancarkan mogok satu hari yang berasingan.
Korea Selatan merancang untuk meningkatkan jumlah doktor di negara itu dengan alasan kekurangan infrastruktur perubatan di luar bandar serta pandemik Covid-19 yang kemungkinan besar tidak akan berakhir segera.
Di bawah rancangan reformasi tenaga kerja perubatan negara, Kementerian Kesihatan merancang untuk memperluas kuota kemasukan ke pusat pengajian perubatan kepada 4,000 orang dalam 10 tahun ke depan mulai 2022 dan membuka pusat pengajian perubatan awam yang baharu.
Kumpulan itu menyatakan, peningkatan jumlah doktor baharu hanya akan menyebabkan lebih banyak persaingan di antara doktor dan tidak akan membantu mengurangkan perbezaan kemudahan perubatan di antara wilayah.
Mereka turut membantah rancangan untuk memasukkan perubatan tradisional timur dalam sistem insurans kesihatan awam negara kerana menganggap bidang tersebut kurang saintifik dan tidak penting.
Pada hari Rabu, Kementerian Kesihatan mengatakan, pihaknya terbuka untuk berunding dengan KMA tetapi menambah ia tidak dapat menunda rancangan ini lebih jauh.
Doktor tempatan yang menolak tawaran itu berkata, protes akan diadakan seperti yang dirancang.
Sehingga Khamis, sebanyak 8,365 atau 24.7 peratus daripada 33,836 klinik di seluruh negara akan menutup klinik mereka, menurut Kementerian Kesihatan.
Jumlah sebenar klinik yang ditutup pada Jumaat belum dilaporkan.
Kementerian Kesihatan sebelumnya memerintahkan kerajaan tempatan memberikan perintah mandatori ke klinik untuk membuka kembali perkhidmatan mereka apabila nisbah klinik ditutup di wilayah mereka melebihi 30 peratus. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!