Bukti anak muda terus jadi pilihan
IPOH - Pemilihan anak muda dan pemimpin belia sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim membuktikan golongan muda terus mendapat tempat sebagai pemimpin.
Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, Barisan Nasional (BN) memilih Mohd Zaidi Aziz yang merupakan Setiausaha Agung Jawatankuasa Kerjasama Belia Asean dan bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia (MBM).
Katanya, begitu juga calon Bebas yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air yang menampilkan seorang peguam muda, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berusia 38 tahun.
"Ini jelas menunjukkan bahawa generasi baharu di dalam golongan X, Y dan Z atau Millenia telah mendapat tempat di hati kepimpinan parti-parti politik.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohd Zaidi tekad kekalkan legasi kemenangan arwah
Mohd Zaidi calon BN PRK DUN Slim
"Generasi baharu juga mula diberikan pengiktirafan yang sepatutnya dan bersedia untuk diketengahkan pada bila-bila masa. Tahniah diucapkan kepada kedua-dua calon yang diumumkan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pencalonan dua individu mewakili BN dan Parti Pejuang Tanah Air pada PRK DUN Slim semalam.
Aswannudin berkata, kedua-dua calon ini mempunyai kekuatan mereka yang tersendiri dan memiliki kriteria sebagai wakil rakyat.
Pihaknya percaya calon-calon tersebut bersih, berintegriti, rendah diri, disukai oleh rakyat dan berupaya membawa hasrat untuk membangunkan negeri dan negara secara bersama.
Dalam pada itu, beliau berkata, MBN Perak menyasarkan 50 peratus daripada pembuat dasar, ketua-ketua jabatan kerajaan sama ada di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), negeri dan Persekutuan perlu diisi oleh generasi baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!