Fernandes lonjak semangat United
PERANCANG Manchester United, Bruno Fernandes percaya hanya dengan menjuarai Liga Europa akan memberi suntikan semangat buat The Red Devils mencabar trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
United hampir merealisasikan impian menjulang trofi Liga Europa musim ini apabila telah mengesahkan tiket ke separuh akhir yang menyaksikan mereka bakal menentang Sevilla awal pagi Isnin nanti.
Melihatkan peluang makin terbuka, Fernandes yang dijulang sebagai wira ketika membantu United menyingkirkan Copenhagen pada aksi suku akhir bertekad memastikan Sevilla menjadi mangsa seterusnya.
"Saya berasakan sangat penting untuk menang kerana setiap pemain perlu memahami betapa pentingnya merangkul kejuaraan. Bagi jurulatih, ia sangat penting sama juga buat pemain-pemain kerana kami telah bermain dengan baik.
"Saya berasakan jika kami menamatkan musim ini dengan trofi, ia tidak akan menjadi detik yang sempurna. Mengakhiri musim dengan baik adalah permulaan yang cemerlang bagi musim depan," katanya.
Selepas kali terakhir United menjulang trofi kejuaraan ketika menjuarai Liga Europa pada 2017, Fernandes berharap The Red Devils tidak akan melepaskan peluang terbaik mereka kali ini.
"Kami perlu terus berkembang sebagai satu pasukan dan meneruskan rentak kemenangan. Kami bermain untuk kelab yang memiliki aspirasi tinggi dan kami perlu menang gelaran juara.
"Sememangnya, EPL adalah salah satu kejuaraan yang mahu dimenangi setiap pasukan dan saya berasakan menjuarai Liga Europa akan memberikan mentaliti terbaik buat pasukan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!