Ayahanda saudara Sultan Terengganu mangkat
KUALA TERENGGANU – Ayahanda saudara Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah mangkat di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur jam 10.15 pagi tadi.
Khabar duka itu diumumkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Terengganu, Hadi Hassan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut kenyataan itu, jenazah Tengku Sri Laksamana Raja dibawa pulang dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu jam 4 petang dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja (TUDM) dan dijangka tiba jam 5 petang.
Katanya, jenazah kemudiannya akan dibawa ke Balai Islam dan Istana Maziah bagi penghormatan terakhir manakala istiadat pemakaman Allahyarham dijangka dilakukan di Makam Diraja Masjid Abidin.
Terdahulu, anakanda Allahyarham, Tengku Ani Soraya Tengku Sulaiman, 40, atau lebih dikenali sebagai Anis Suraya berkongsi berita kemangkatan Allahyarham menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
“Dengan berat hati, dukacitanya dimaklumkan ayahanda saya, Tengku Sri Laksamana Raja telah mangkat di Hospital Gleneagles, jam 10.15 pagi tadi.
“Jenazah akan diterbangkan ke Terengganu jam 4 petang dan dianggarkan disolat dan dimakamkan selepas maghrib di Masjid Abidin, Kuala Terengganu,” katanya.
Dalam perkongsian itu, Anis Suraya turut meminta orang ramai supaya turut sama mendoakan kesejahteraan ayahandanya.
“Mohon sedekahkan Al-Fatihah dan sama-sama doakan supaya Almarhum ayahanda ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!