Sentuhan Arteta bukan 'biasa-biasa'
Bekas penyerang berbisa Arsenal, Robin van Persie percaya Mikel Arteta mempunyai potensi besar untuk menjadi seorang jurulatih yang hebat buat skuad The Gunners.
Biarpun belum setahun menerajui Arsenal, Arteta membuktikan kemampuan yang dimilikinya apabila membantu Arsenal menjuarai Piala FA selepas menewaskan Chelsea 2-1 pada akfi final di Wembley awal bulan ini.
Sekalipun Arsenal menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga kelapan musim ini, kejayaan menjuarai Piala FA itu sudah cukup untuk memastikan slot The Gunners ke Liga Europa musim depan.
"Sebagai seorang pemain, saya melihat dia (Arteta) seorang pemain yang berkualiti. Dia sentiasa cergas dan cukup bersedia sekiranya diberi tanggungjawab menggalas cabaran pasukan.
"Sebagai jurulatih, dia berpotensi menjadi seorang yang bertaraf dunia. Saya berkata tentang perkara ini selepas menyaksikan beberapa sesi latihan. Cara dia menangani pihak media, gaya dia membuat pasukan bermain, sesuatu yang sangat menarik, sangat positif," kata van Persie.
Sebagai pemain yang pernah bergandingan bersama Arteta ketika menyarung jeris Arsenal suatu ketika dahulu, van Persie turut yakin bekas rakan sepasukannya itu mampu mencapai lebih banyak kejayaan di Emirates.
"Dia banyak belajar daripada (pengendali Manchester City) Pep Guardiola. Jadi saya dapat rasakan dia mampu memberikan impak positif kepada Arsenal dalam beberapa tahun akan datang," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!