KAFA masih buka tawaran
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih membuka ruang kepada mana-mana pihak yang mahu menjadi pemegang taruh terbesar, sekali gus memiliki skuad The Red Warriors itu.
Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, pihaknya mengakui ada melakukan perbincangan dengan beberapa pelabur termasuk daripada pihak Zam Burger.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia masih di peringkat rundingan awal termasuk untuk membincangkan mengenai tawaran yang dikemukakan.
"Dua surat rasmi telah diterima daripada Zam Burger dan pihak Jawatankuasa Eksekutif juga sudah buat kajian, kita akan bagi maklum balas kepada mereka untuk sebarang keputusan.
"Tidak semua tawaran mereka terima, ada yang cuba dibuat rundingan balik termasuklah ada cadangan-cadangan baharu. Buat masa ini kami masih lagi memikirkan kaedah lain melibatkan cadangan mereka," katanya.
Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan jersi baharu kepada TRW)yang diwakili oleh Pengurus Pasukan TRW, Datuk Azman Ismail di Kota Bharu hari ini. Penyerahan jersi tersebut dilakukan penaja baharu iaitu syarikat Stechmad Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Rus Faizan Mohamad.
Mengulas lanjut mengenai pembelian pasukan Kelantan, Hussin mengakui, TRW turut dirisik beberapa pihak lain termasuk pelabur dari India.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, ia masih di peringkat 'bertanya khabar' memandangkan perbincangan lanjut tidak dapat dilakukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Cuma kita harap kepada mana-mana pihak yang sudi bekerjasama dengan kami, tampil dan buat perbincangan dan hantar surat rasmi. Kita tidak mahu ada yang bercakap belakang saja," jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai status terbaharu gaji para pemain, Hussin memberitahu, pihaknya menjanjikan pembayaran gaji sebulan yang berjumlah RM370,000 sebelum perlawanan menentang UKM FC pada 22 Ogos ini.
"Insya-ALLAH kita usahakan satu persatu. Buat masa sekarang ini Alhamdulilah, emosi pemain juga berada dalam keadaan baik. Apa yang penting, kita tidak ambil sikap lepas tangan kepada pemain sebab kita faham masalah masing-masing," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!