Siapa sebenarnya politikkan TH, soal Mujahid
SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mempersoalkan 'mainan politik' kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam isu pembahagian hibah Tabung Haji (TH) sebelum Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.
Menurutnya, pemberian hibah yang tinggi kepada pendeposit dan tidak sepadan dengan keuntungan adalah bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995.
"Pemberian hibah yang tinggi dalam keadaan kewangan yang tidak stabil akan bagi kesan kepada kewangan TH.
"BN, walaupun tak boleh keluarkan hibah, tapi mereka tetap keluarkan hibah. Apabila dekat dengan Pilihan Raya Umum (PRU), mereka beri dua kali hibah.
"Kalau nak jaga TH dalam jangka panjang, kita kena jaga kesihatan TH. Bukan nak undi, bagi hibah tinggi dan akhirnya rizab akan merosot," katanya pada gelanggang program Berani Semuka di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini malam ini.
Program itu mempertemukan beliau bersama bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.
Tambah Dr Mujahid, justeru apa yang dilaksanakan PH adalah semata-mata untuk menjaga kewangan TH pada masa panjang.
"Kita beri hibah sedikit supaya untuk tahun-tahun akan datang, kita dapat beri hibah yang yang lebih banyak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!