Kunci utama dalam PRN Sabah

A
A
A

APABILA keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diumumkan pada Mei 2018, mana-mana parti ketika itu sama ada Barisan Nasional (BN) mahupun Warisan serta sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak memperoleh jumlah majoriti yang diperlukan bagi membentuk kerajaan di Sabah.

Maka dengan sebab itu, ‘Drama 1994’ berulang kembali dalam politik Sabah, cuma kali ini BN yang tumbang di tangan Warisan tetapi naratifnya tetap sama. Ada katak politik yang melompat, malah kali ini lebih hebat berbanding tahun 1994.

Kita tidak perlu mengulas tentang katak politik itu kerana ada persoalan besar di sebaliknya tentang bahayanya ketidakstabilan parti yang menjadi kerajaan disebabkan tidak mampu memperoleh majoriti besar pada pilihan raya.

Drama 1994 dan 2018 menjadi bukti kepada perkara tersebut. Sejak tahun 1995, BN tidak pernah gagal memperoleh majoriti dua per tiga dalam setiap pilihan raya sehingga PRU14. Malah, ketika tsunami politik tahun 2008 membadai negara, orang Sabah masih ‘tatap BN’ (tetap BN).

Namun, tanpa persediaan rapi dan mencukupi, agak sukar mana-mana parti untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, apatah lagi memperoleh 2/3 majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Beberapa perkara jika boleh dilakukan dengan sebaiknya dan mampu menjadi kunci utama PRN kali ini, antaranya pembentukan pakatan strategik, calon Ketua Menteri yang berwibawa serta premis yang bakal dijaja sepanjang berkempen kelak.

Pakatan strategik jelas kunci pertama yang perlu dilakukan kerana hampir mustahil bagi mana-mana parti memenangi PRN Sabah secara bersendirian.

Setakat ini, Warisan lebih terkehadapan dan stabil berbanding Perikatan Nasional (PN). Warisan bersama sekutunya dilihat sepakat dalam aspek menentukan kerusi dan calon yang bertanding.

Artikel Berkaitan:

Berbanding PN, nampaknya UMNO dan Bersatu masih belum ada kesepakatan dalam hal itu, malah ada kebarangkalian bertembung sesama sendiri jika ia tidak cepat dimuktamadkan.

PN juga harus menggunakan rakan-rakannya yang lain bagi memenangi kerusi-kerusi bandar dan kawasan majoriti Cina.

Untuk rekod, pada PRU14, kesemua calon Cina yang dipertaruhkan BN daripada MCA, LDP, Gerakan dan PBS tewas di tangan PKR, DAP atau Warisan.

Mengharapkan PN menang di kerusi-kerusi tradisi bumiputera Islam sahaja adalah tidak bijak kerana Warisan juga mempunyai kekuatannya yang tersendiri terutama di sebelah Pantai Timur Sabah.

Siapa bakal Ketua Menteri juga menjadi prospek kedua. Pentingnya hal itu sehinggakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri ketika mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Julai lalu menyebut secara sarkastik kepada rakyat Sabah agar pilihlah siapa antara figura ini: Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Bung Moktar, Datuk Seri Hajiji atau beliau sebagai Ketua Menteri.

Setakat ini, PN masih belum mampu mengemukakan siapa calon Ketua Menteri mereka, namun kelebihan PN sebagai kerajaan pada peringkat Persekutuan sudah pasti menguntungkan Sabah.

Terakhir, premis yang bakal ditawarkan juga menjadi faktor penentu.

Dengan keadaan ekonomi yang bakal suram dan tidak menentu disebabkan pandemik Covid-19, kemampuan mana-mana parti untuk menawarkan sesuatu yang baharu terutama dalam aspek pembangunan dan ekonomi rakyat – peluang pekerjaan, peluang mendapatkan pendidikan dan kemahiran, bantuan kewangan, kemudahan dan sokongan akan menjadi pilihan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!