LGBT isu psikososial yang berlarutan

A
A
A

HOMOSEKSUALITI ialah perasaan keinginan seksual sesama jenis dalam kalangan lelaki dan wanita. Lesbianisme bermakna perasaan keinginan seksual sesama wanita.

Saya memulakan perbincangan tentang lesbian, gay, transgender dan bisexual (LGBT) dengan usaha nosologi (klasifikasi) kecelaruan mental yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association (APA) di Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di sini, saya tidak mendalami istilah Queer atau Questioning yang ditambah kepada singkatan di atas hingga menjadikannya LGBTQ.

Di AS, perubahan nosologi tentang kecenderungan seseorang untuk menjadi homoseksual atau lesbian berlaku sejak tahun 1973.

Pada tahun itu, ia tidak lagi diiktiraf sebagai satu kecelaruan mental dalam buku klasifikasi kecelaruan mental berjudul Diagnostic Statistical Manual of Mental Disorders - II (DSM-II) yang diterbitkan oleh APA.

Ia adalah hasil daripada tekanan lobi kumpulan gay dan khilaf pendapat dalam kalangan ahli-ahli pertubuhan psikiatri Amerika tersebut.

Semasa latihan, kami doktor perubatan muda dalam bidang pascasiswazah psikiatri klinikal menjalani latihan kepakaran pada pertengahan dasawarsa 1980-an, ego-dystonic homosexuality masih wujud dalam DSM-III (terbitan 1980).

Ia membawa dua makna. Pertama, seseorang itu tidak berpenyakit mental jika ia menjadi homoseksual atau lesbian, asalkan ia tidak berasa salah.

Artikel Berkaitan:

Kedua, jika seorang homoseksual atau lesbian berasa bersalah dan tidak selesa (ego-dystonic), barulah ia disebut sebagai satu kecelaruan mental dan memerlukan rawatan.

Sejak tahun 1987, homoseksualiti (termasuk lesbianisme) tidak lagi wujud sewaktu penerbitan edisi semakan DSM-III dan DSM-III-R.

Pada Mei 2013 apabila DSM-5 diterbitkan, ia tidak langsung mempunyai apa-apa rujukan tentang orientasi seksual termasuk homoseksualiti dan lesbianisme. Pendek kata orientasi seksual tidak dikaitkan lagi dengan kecelaruan mental.

Pada tahun 1992, WHO menerbitkan edisi semakan ke-10 bagi buku klasifikasinya berjudul International Statistical Classification of Diseases and Related Health Problems (ICD-10).

Ketika itu, kod serta klasifikasi berkaitan dengan kelencongan seksual distonik ego, kecelaruan seksual serta kecelaruan perkembangan dan orientasi seksual masih digunakan.

Celaru

WHO berpegangan bahawa apa-apa orientasi seksual (heteroseksualiti, homoseksualiti atau biseksualiti) bukanlah satu kecelaruan mental.

Setelah diasak oleh lobi kelompok LGBT untuk mengenyahkan semua rujukan tentang homoseksualiti dalam edisi semakan buku klasifikasinya yang ke-11, bila ICD-11 diterbitkan pada 18 Jun 2018, klasifikasi berkaitan orientasi seksual, kelencongan seksual dan kecelaruan seksual didapati mangkir (absent) dalam kalangan pelbagai kod klasifikasi penyakit.

Pada 25 Mei 2019, ia telah disahkan oleh semua ahli WHO semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang ke-72. Edisi semakan ICD-11 akan diguna pakai secara rasmi, profesional dan legal pada 1 Januari 2022.

Gerakan LGBTQ akan terus berjuang berbekalkan pelbagai hujah sosial, psikologi dan biofizikal, tidak kira selemah mana pun hujah itu.

Makalah Sara Reardon pada 29 Ogos 2019 dalam majalah Scientific American perlu dibaca untuk difahami bagaimana kajian biogenetik semakin menjadi senjata bagi gerakan LGBT.

Hujah al-Quran dan hadis sahih amat jelas tentang bagaimana ALLAH SWT serta Nabi mencegah cara hidup homoseksual. Usaha-usaha kaunseling dan mukhaiyam penuh rahmah mestilah diteruskan dan berhak mendapat sokongan seluruh ummah.

Saya mencadangkan pemerhati profesional diundang menghadiri sesi-sesi yang beretika itu dengan keizinan kedua-dua pihak kaunselor dan pelatih (baca: klien atau kaunseli).

Tiada rahsia yang hendak disembunyikan. Anekdot dan pengalaman pengislahan oleh mereka yang berjaya kembali ke pangkal jalan mestilah diuar-uarkan.

Saya masih terus berpegang kepada kepercayaan bahawa kecelaruan psikososial dan spiritual menyebabkan kecenderungan homoseksual dan lesbian. Ia memerlukan terapi psikospiritual (termasuk ruqyah) bagi individu dan terapi kelompok berasaskan prinsip psikospiritual.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!