Putera Harry pindah rumah baharu
LOS ANGELES - Pewaris keenam takhta Britain, Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle dilaporkan telah berpindah ke sebuah rumah baharu yang dibeli dengan harga AS$14.6 juta (RM61.2 juta) pada Jun lalu di Santa Barbara, sebuah bandar tepi laut yang terletak kira-kira 150 kilometer di luar Los Angeles, Amerika Syarikat.
Pasangan Duke dan Duchess of Sussex yang melepaskan kesemua keistimewaan diraja mereka pada Januari lalu itu pada asalnya menetap di bandar kelahiran Meghan di Los Angeles yang turut menjadi sasaran lensa paparazi hingga mengganggu privasi keluarga terbabit.
Menurut majalah People dan laman web Page Six, kediaman baharu mereka dilengkapi sembilan bilik tidur dan 16 bilik air di Santa Barbara merupakan komuniti golongan kaya yang turut didiami selebriti terkenal, Oprah Winfrey dan Ellen DeGeneres.
"Mereka memilih lokasi tersebut untuk membesarkan Archie dan menjalani kehidupan normal tanpa gangguan," lapor Page Six memetik satu sumber.
Ketika di Los Angeles, Harry dan Meghan menetap di kediaman taikun media, Tyler Perry selepas berpindah dari Kanada ke California.
Bulan lalu, pasangan tersebut memfailkan saman ke atas paparazzi yang didakwa mengambil gambar anak mereka yang berusia 14 bulan tanpa kebenaran.
Pada April lalu, pasangan terbabit pernah mendapat perhatian media selepas mereka terlibat dalam kerja amal mengagihkan makanan kepada pesakit kronik di sekitar Los Angeles ketika bandar itu berdepan lockdown akibat pandemik koronavirus (Covid-19). - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!