'Hadiah istimewa buat ibu, ayah dan isteri'
"ALHAMDULILLAH, anugerah ini saya hadiahkan istimewa buat kedua-dua orang tua saya, Syed Ali Syed Akil dan Sarifah Fauziah Syed Draman yang bakal menyambut ulangtahun ke-24 perkahwinan mereka tidak lama lagi," kata atlet petanque negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali apabila dinobatkan Olahragawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2019.
Menurut Syed Akmal Fikri, dengan sokongan padu dan restu daripada kedua-dua ibu bapanya itu membolehkan dia berada pada tahap sekarang.
"Kejayaan ini juga saya dedikasikan untuk isteri saya, Nur Amirah Syazwani Azahari yang telah banyak berkorban masa selama ini dalam memberi sepenuh perhatian terhadap puteri kami, Sharifah Aileen Nafeesa yang baru berusia satu tahun tiga bulan.
"Secara jujur masa saya bersama isteri dan anak agak begitu terhad serta kurang kerana seperti atlet lain saya juga menggalas tanggungjawab untuk mengharumkan nama negara.
"Jadi kemenangan ini saya hadiahkan untuk mereka bertiga yang banyak berkorban dan memberi semangat kepada saya selama ini termasuk juga kem petanque negara," kata atlet berusia 23 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Syed Akmal Fikri menewaskan Muhammad ‘Aqil Yasmin (olahraga), Anwarul Hafiz Ahmad (ragbi), Ahmad Azfaruddin Lukman (kayak), Daeng Dhadyry Dahasry (boling padang), Muhammad Ezuan Nasir Khan (menembak) dan Azam Mohd Shidid (orienteering).
Penuntut Tahun Tiga Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM yang mewakili universiti itu sejak 2015 tidak menyangka terpilih meraih anugerah berkenaan dalam percubaan kali keempat.
"Alhamdulillah kali ini rezeki saya selepas tiga percubaan sebelum ini tidak berjaya kerana calon-calon lain pun tidak kurang hebatnya.
"Secara jujur untuk kali keempat ini saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana seperti yang kita dapat lihat kesemua calon mempunyai kelebihan masing-masing," katanya.
Pada Sukan SEA 2019 Filipina lalu, Syed Akmal Fikri bersama Muhammad Hafizuddin Mat Daud dan Saiful Bahri Musmin tampil cemerlang apabila meraih pingat emas dalam acara triples lelaki.
Syed Akmal Fikri menerima anugerah yang disampaikan Naib Canselor UiTM, Profesor Ir Dr Mohd Azraai Kassim pada Majlis Anugerah Sukan UiTM 2019 di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam semalam.
Sementara itu, atlet boling padang wanita negara yang juga penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Nur Ain Nabilah Tarmizi pula dinobatkan Olahragawati UiTM 2019.
Atlet berusia 22 tahun kelahiran Labuan itu yang mewakili UiTM sejak 2016 menewaskan Rozliana Mohd Ridwan (ragbi wanita), Nurul Farah Alisa Roslan (taekwando), Nur Nabila Azman (catur), Faradiba Tugiman (pencak silat), Aimi Ayuni Azwan (kayak) dan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali (petanque).
Pada Sukan SEA 2019 Filipina, Nur Ain Nabilah, 23, turut membawa pulang kilauan emas dari kem boling padang bersama Siti Zalina Ahmad, Afiqah Dayana Budiman dan Syafiqah Haidar Afif Abdul Rahman selepas menewaskan Filipina 17-6 dalam acara Women’s Four.
Kemenangan itu membolehkan kedua-dua pemenang berkenaan membawa pulang sijil, trofi dan RM1,500.
Mengenai perkembangan semasa kem petanque negara, Syed Akmal Fikri berkata: "Pada masa ini kami meneruskan latihan seperti biasa bagi mengembalikan semula momentum selepas latihan tertangguh akibat pandemik Covid-19.
"Pada awalnya kami sepatutnya mengharungi saingan Piala Asia, namun disebabkan Covid-19 yang melanda dunia sekarang, kejohanan itu ditangguh ke tahun depan.
"Jadi dengan baki masa yang ada ini kami sedang mantapkan latihan bagi tiga kejohanan penting tahun depan iaitu Piala Asia, Piala Dunia dan Sukan SEA.
"Kami akan menyertai beberapa kejohanan domestik bagi memastikan kami dapat mengekalkan prestasi pada masa sama memperbaiki kelemahan yang ada menjelang tiga kejohanan besar itu tahun depan."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!