Perjanjian Israel-UAE ada udang di sebalik batu
WASHINGTON - Perjanjian damai antara Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan ‘menormalkan’ hubungan diplomatik antara rejim Zionis dan negara yang mempunyai rizab besar minyak dan gas asli serta menyumbang kekayaan di Abu Dhabi wajar dilihat seperti ‘ada udang di sebalik batu’.
Tel Aviv mungkin akan mengambil kesempatan daripada pengaruh kuat UAE yang dikenali sebagai pusat komersial di rantau Arab untuk bekerjasama dalam pelbagai isu termasuk menangani pandemik koronavirus (Covid-19) dan menentang Iran yang merupakan musuh sama kedua-dua negara tersebut berikutan pernah berkongsi maklumat risikan ketenteraan selama beberapa dekad.
Ketika ini, banyak negara antarabangsa menyokong langkah itu dan ada yang turut mengecam keputusan tersebut yang dikhuatiri akan memberi impak lebih besar kepada Palestin dan rantau Arab yang telah menyaksikan empat peperangan bersama Israel sepanjang 72 tahun lalu.
Di bawah perjanjian itu, Tel Aviv bersetuju untuk menangguhkan rancangan merampas sebahagian besar kawasan Tebing Barat yang telah ditunda sejak bulan lalu kerana gagal mendapat lampu hijau Amerika Syarikat (AS) yang turut menjadi perantara perjanjian damai Israel-UAE tersebut.
Difahamkan, Perjanjian Abraham terbabit dimeterai melalui panggilan telefon antara Presiden AS, Donald Trump; sekutu rapatnya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota, Sheikh Mohammed Zayed semalam.
Menerusi satu kenyataan bersama, trio pemimpin tersebut sepakat untuk menjalinkan hubungan diplomatik bersejarah yang kononnya akan membawa perdamaian di Asia Barat walaupun satu-satunya jalan untuk mencapai perkara itu adalah menerusi penyelesaian dua negara antara Israel-Palestin.
“Ia merupakan bukti diplomasi dan visi yang berani antara ketiga-tiga pemimpin terbabit untuk membuka jalan baharu yang akan membuka potensi besar di rantau Arab,” ujar kenyataan itu lagi.
Trump menerusi Twitter menyifatkan Perjanjian Abraham kononnya sebagai ‘kejayaan besar’ dan perjanjian bersejarah antara dua ‘rakan yang hebat’.
Sementara itu, pegawai di Rumah Putih mengesahkan perjanjian damai itu adalah hasil daripada perbincangan panjang antara Tel Aviv, Abu Dhabi dan Washington yang dipercepatkan baru-baru ini.
Ia adalah perjanjian yang pertama dalam tempoh 26 tahun selepas Israel dan Jordan menandatangani perjanjian damai pada 1994.
Beberapa pengkritik melihat ‘kejayaan dasar luar’ Trump itu bakal menaikkan semula populariti bilionair hartanah tersebut menjelang Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada 3 November depan selepas sokongan ke atasnya semakin menurun akibat kegagalan menangani pandemik Covid-19.
“Hari ini menandakan era baharu dalam hubungan Israel dengan dunia Arab.
“Selama beberapa tahun, Tel Aviv sering digambarkan sebagai musuh dan kini lebih banyak negara akan menyertai kami dalam lingkaran keamanan ini,” kata Netanyahu dengan angkuh menerusi ucapannya disiarkan stesen TV malam kelmarin.
Menurutnya, pelan jahat untuk mengisytiharkan kedaulatan ke atas Tebing Barat masih akan diteruskan seperti dijanjikan beliau sebelum ini.
Akhbar Haaretz memetik kenyataan sumber politik di Tel Aviv memberitahu rancangan merampas Tebing Barat masih menjadi agenda Israel dan mereka hanya menangguhkan pelan tersebut kerana mengikut arahan pentadbiran Trump untuk mencapai perjanjian damai bersama UAE.
Dikecam Palestin
Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Dr Hanan Ashrawi dalam satu kenyataan mengutuk Perjanjian Abraham tersebut.
“UAE secara rahsia telah menormalkan hubungan dengan Israel yang tidak menyatakan secara terbuka tentang penindasan dan pendudukan ke atas Palestin,” katanya.
Palestin dengan tegas menolak perjanjian damai itu dan menggelar ia sebagai satu pengkhianatan terhadap tuntutan mereka termasuk Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
Susulan itu, ia mengumumkan akan memanggil pulang duta mereka dari UAE dan menggesa Liga Arab mengadakan mesyuarat tergempar.
Gerakan Hamas yang mentadbir Genting Gaza juga menyifatkan perjanjian tersebut tidak memenuhi tuntutan Palestin.
Sementara itu, Presiden Majlis Hubungan Luar, Richard Haass mendakwa perjanjian tersebut akan menjejaskan perjanjian damai dengan Jordan dan masa depan Tel Aviv.
Difahamkan, delegasi Israel dan UAE akan mengadakan pertemuan dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk berdiskusi tentang hal pelaburan, pelancongan, penerbangan secara terus, keselamatan dan pembukaan pejabat kedutaan di kedua-dua negara. - Agensi
ARTIKEL BERKAITAN: Palestin lancar protes, panggil balik duta di UAE
Abbas, Haniyeh kecam perjanjian UAE-Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!