Surat beranak ganti MyKad
RANTAU PANJANG - Seorang mekanik dari Kampung Rahmat di sini buntu memikirkan masa depan hidupnya apabila terpaksa menjadikan surat beranak sebagai pengenalan diri rakyat negara ini.
Nik Zulkifli Nik Mat, 28, berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan selepas permohonannya mendapatkan MyKad menemui jalan buntu.
Menurutnya, ibu bapanya merupakan warga Thailand tetapi sudah meninggal dunia manakala kesemua adik-beradiknya lahir dan membesar di Malaysia.
"Ketika umur 12 tahun (2002) saya pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Kelantan untuk membuat MyKad namun mereka hanya memberikan salinan kaki MyKad sahaja sebagai bukti," katanya.
Menurutnya, semasa membuat permohonan dia mengemukakan semua dokumen yang diminta oleh JPN termasuk membawa keluarga angkat sebagai bukti untuk mengukuhkan sokongan tetapi usaha itu gagal selepas kerajaan membekukan sementara permohonan MyKad.
"Kemuncak usaha menemui jalan buntu apabila mendapat panggilan daripada JPN Putrajaya mengatakan permohonan MyKad saya gagal.
"Disebabkan itu saya kini bergantung sepenuhnya kepada surat beranak sebagai bukti pengenalan diri," katanya.
Nik Zulkifli berkata, bagaimanapun dua kakaknya iaitu Norizan Nik Mat, 34, dan Zubaidah Nik Mat, 32, memiliki Mykad berwarna hijau.
Katanya, dia turut mengimpikan perkara tersebut bagi membolehkan hidupnya lebih terjamin apabila memiliki MyKad.
Sementara itu, kakak sulung Nik Zulkifli, Nik Syarifah Nik Mat, 35, turut mempunyai harapan sama.
Nik Syarifah yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata cukup terkesan kerana ketiadaan MyKad.
Dia juga tidak mampu membayar yuran untuk permohonan MyKad berjumlah RM900.
"Suami saya, Azlan Idris (warga tempatan) mempunyai masalah mental dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) serta tidak dapat bekerja. Jadi, menjadi tanggungjawab saya membesarkan anak-anak ketika ini dengan melakukan kerja-kerja kampung," katanya.
Katanya, dia berharap pihak berkenaan dapat membantu bagi memenuhi impiannya memiliki MyKad supaya tidak 'takut' keluar bekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!