Pertandingan tiga penjuru di PRK DUN Slim
TANJUNG MALIM - [DIKEMASKINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.
Calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Slim bakal dicabar calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili parti baharu ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Seorang lagi calon Bebas adalah S Santharasekaran, 44, yang merupakan bekas guru dan Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam).
Pengumuman senarai calon yang bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris pada jam 10.35 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjong Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) di sini ditutup pada jam 10 pagi.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan itu dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya ketika mengumumkan nama-nama calon bertanding di sini sebentar tadi.
Atas semangat Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas, pencalonan Mohd Zaidi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dicadang oleh Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Ab Rahman dan disokong Setiausaha MIC Bahagian, G Mahendran pada jam 9.03 pagi.
Santharasekaran yang menggunakan simbol buku menjadi individu pertama mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.02 pagi.
Amir Khusyairi yang merupakan seorang peguam menggunakan simbol pokok dan mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
"Keadaan di sekitar kawasan ini tenang dengan kawalan polis termasuk lalu lintas.
"Ini adalah hasil rancangan awal pihak kami untuk mengaplikasikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.
Senarai calon ikut turutan:
1. Bebas: Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (pokok)
2. BN: Mohd Zaidi Aziz (dacing)
3. Bebas: S Santharasekaran (buku)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!