Hujan tanpa henti punca air melimpah
SABAK BERNAM - Kira-kira 11 rumah penduduk di Kampung Batu 38 dan Batu 38 Baroh di sini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak awal pagi semalam.
Hujan pada jam 1 pagi semalam itu mengakibatkan air melimpah ke halaman dan masuk ke rumah penduduk terutama yang berada di kawasan rendah.
Seorang penduduk, Mohammed Ali Mohammed Zazuli, 82, berkata, dia hanya menyedari air masuk ke dalam rumah pada jam 6 pagi ketika bangun dari tidur untuk menunaikan solat Subuh.
"Saya tidak menyedari bila air naik tetapi apabila saya turun dari katil, saya terkejut apabila air naik paras buku lali," katanya kepada Sinar Harian.
Mohammed Ali berkata, kejadian air melimpah masuk ke dalam rumah disebabkan air dari parit belakang rumah bertembung parit utama.
"Hari ini masuk hari kedua air masih belum surut dan keadaan ini disebabkan sistem saliran menjadi tepu dan air tidak mengalir dengan sempurna," katanya.
Seorang lagi Mohd Azhar Nazri, 35, pula berkata, banjir yang melanda rumahnya itu adalah yang terburuk sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, kejadian sama pernah berlaku pada tahun 2013 lalu hingga menyebabkan air melimpah ke dalam rumah penduduk selama lebih tiga hari.
"Saya anggarkan mungkin dua tiga hari lagi banjir surut tapi itu pun jika tiada hujan dalam tempoh terbabit," katanya.
Justeru katanya, penduduk berharap agar pihak bertanggungjawab menyelenggara parit sekitar kawasan terbabit.
"Parit di kawasan ini perlu didalamkan lagi bagi memastikan keselesaan penduduk agar tidak berdepan masalah sama setiap kali hujan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail berkata, beliau dari masa ke masa memantau kejadian banjir kilat di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Katanya, masih terdapat beberapa kawasan rumah yang belum surut akibat sistem pengairan yang dipenuhi rumput.
"Saya mohon pihak berwajib segera menyelenggara parit agar sistem pengairan air tidak terjejas sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk setempat jika berlaku hujan lebat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!