Persidangan Bersatu: Perutusan khas presiden
Pertamanya, saya ingin mengucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang menghadiri persidangan di peringkat bahagian serta sayap Srikandi dan Armada di seluruh negara.
Kita bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana masih diberikan semangat dan kekuatan untuk terus berada dalam wadah perjuangan parti yang kita sayangi ini.
Saudara-saudari yang hadir dalam persidangan kali ini ada yang merupakan penggerak awal parti. Saudara-saudari telah berjuang bersama-sama saya dan pimpinan yang lain untuk menubuhkan parti di segenap pelosok tanah air. Betapa sukarnya usaha kita di peringkat awal Tuhan saja yang tahu.
Ketika kita nak mulakan usaha untuk menubuhkan parti, ada yang datang menemui saya di Kuala Lumpur. Kita berbincang dalam kumpulan-kumpulan kecil untuk menggerakkan parti dengan sumber yang terhad.
Saya masih ingat di peringkat awal dahulu saudara menjemput saya turun ke Tenggara, Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar, Jerantut, Temerloh, Sungai Petani, Sik, Ketereh, Machang, Pasir Puteh, Dungun, Kuala Langat, Sungai Besar, Sepang, Seremban dan banyak lagi tempat yang senarainya terlalu panjang untuk saya sebut satu persatu. Saudara menganjurkan program dengan perbelanjaan sendiri. Tiada khemah besar, tiada jamuan yang mewah. Tetapi setiap kali saya turun, ratusan malah di sesetengah tempat ribuan manusia yang hadir. Alhamdulillah, sambutannya luar biasa.
Masih segar di ingatan saya wajah-wajah penggerak awal parti di akar umbi. Rata-ratanya bukanlah nama besar dalam politik. Bukan Ketua Bahagian, bukan wakil rakyat, bukan hartawan. Tetapi anda semua mempunyai jiwa yang berani dan cekal.
Tidaklah berlebihan jika saya katakan parti kita ini pada awalnya digerakkan oleh orang-orang kecil yang berjiwa besar! Small men, brave hearts! Orang-orang kecil inilah yang bergolok-bergadai dan berjuang bermati-matian untuk menubuhkan cawangan dan bahagian dan memenangkan parti dalam pilihanraya. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada anda semua.
Ada dalam kalangan saudara-saudari yang hadir dalam persidangan kali ini menyertai Bersatu selepas pilihanraya. Sumbangan anda juga besar. Anda berperanan menambah sokongan kepada Bersatu. Dengan penyertaan anda semua, Bersatu menjadi sebuah parti yang lebih kukuh dan kuat.
Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian.
Dahulu Tun Dr Mahathir (Mohamad) bersama-sama dengan kita. Saya tak boleh nafikan sejarah sumbangan Tun Mahathir kepada parti kita. Saya hormat kepada beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepada Tun Mahathir.
Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.
Yang penting perjuangan parti ini mesti diteruskan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi wadah perjuangan parti mesti terus dipertahankan.
Saudara-saudari, saya tidak khianat kepada parti. Saya yang tubuhkan parti ini. Jadi tidak ada sebab untuk saya khianat kepada parti yang saya sendiri tubuhkan.
Saya yakin segala apa yang telah berlaku pasti ada hikmahnya. Jangan kita lupa, kita sekadar merancang, tetapi Tuhan lah yang menentukan. Ingat firman ALLAH SWT; Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Benarlah firman ALLAH ini. Kekuasaan itu adalah hak mutlak ALLAH SWT. Dialah yang menentukan turun naik seseorang dalam carta kuasa pemerintahan.
Saya sendiri pun melalui fasa jatuh dan bangun dalam politik. Ada kalanya saya di atas. Ada kalanya saya di bawah. Itu adalah sebahagian daripada asam garam kehidupan saya yang mesti saya terima seadanya.
Kali ini ALLAH SWT memberikan kepada saya satu amanah besar untuk memimpin parti dan kerajaan. Pengalaman mengajar saya bahawa kedudukan, pangkat dan kuasa adalah sementara. Ia bukanlah kurniaan untuk kita bermegah-megah. Ia juga bukan hak untuk kita miliki selama-lamanya. Tetapi kuasa pemerintahan adalah satu amanah berat untuk kita pikul.
Begitu juga dengan saudara-saudari di peringkat Bahagian dan Cawangan. Dahulu sebahagian daripada saudara-saudari adalah ahli biasa. Sekarang jadi perwakilan, jadi Ketua Cawangan, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Bahagian dan lain-lain. Ingat bahawa jawatan yang anda pegang ini adalah amanah yang mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
Bagi yang kalah dalam pertandingan dan tidak memegang apa-apa jawatan, jangan kecewa, jangan merajuk. Teruslah istiqamah dalam perjuangan. Dalam perjuangan politik, jatuh bangun itu adalah perkara biasa. Buktikan keikhlasan dalam berjuang. Insya-ALLAH saudara-saudari akan berpeluang untuk terus berbakti kepada parti, bangsa dan negara.
Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian.
Kita mesti jalan terus. We must move on. Jangan kita berpaling ke belakang. Teruslah mara ke hadapan. Apa yang ada di hadapan kita mesti kita hadapi dengan tabah.
Bulan September ini genaplah usia parti kita empat tahun. Parti kita masih baharu. Walaupun begitu, Bersatu telah menjadi sebuah parti yang penting dan berpengaruh dalam persada politik tanah air. Kita merupakan sebuah parti yang utama dalam kerajaan baik di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri. Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan kita.
Dalam tempoh empat tahun ini, jumlah keahlian parti kita telah mencecah lebih 420,000 orang di seluruh negara. Kita juga telah menubuhkan 197 Bahagian dan 2,950 Cawangan yang berdaftar. Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan dalam tempoh yang singkat.
Untuk bergerak ke hadapan, sudah pastilah kita perlu menambah jumlah keahlian dan cawangan. Ini pastinya akan memperkukuhkan lagi parti kita. Jadikan penambahan ahli dan cawangan sebagai KPI setiap Bahagian.
Selain itu, hubungan kita dengan parti-parti rakan dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional di peringkat akar umbi juga perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa. Saya tahu proses ini mungkin mengambil sedikit masa. Tetapi saya yakin kita akan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dan kukuh dengan parti-parti rakan.
Di peringkat pusat, saya sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti UMNO, Pas, MCA, MIC, GPS, PBS, STAR dan PBRS yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional. Beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan ini yang saya percaya akan memperkukuhkan lagi kedudukan BERSATU dan parti-parti rakan yang lain dalam Perikatan Nasional.
Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition. InsyaALLAH, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita. Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, Pas dan parti-parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita.
InsyaALLAH, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian.
Istiqamahlah dalam perjuangan kita. Yakinlah dengan pendirian parti. Rapatkan saf, betulkan niat dan bangkitlah saudara-saudari dengan semangat waja. Maralah ke hadapan menjulang obor perjuangan parti kita. Mudah-mudahan ALLAH SWT. merahmati segala pengorbanan dan perjuangan kita.
Saya dengan ini mengucapkan selamat bersidang kepada anda semua.
BERSATU! BERSATU! BERSATU!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!