ABIM kecam perjanjian damai UAE-Israel

Muhammad Faisal
Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya perjanjian damai Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan itu disifatkan sebagai pengkhianatan besar kepada umat Islam khususnya rakyat Palestin apabila Abu Dhabi mengiktiraf Israel dan seterusnya akan mewujudkan hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu.

"ABIM menekankan bahawa perjanjian yang mendapat restu dan sokongan kuat Trump yang bertanggungjawab mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan seterusnya menaja ‘Deal of the Century’ sebagai satu pengkhianatan besar.

"ABIM juga menegaskan bahawa perjanjian ini membelakangkan sentimen dan harapan masyarakat antarabangsa untuk melihat hak Palestin menjadi sebuah negara merdeka di tanah yang sekian lama dijajah rejim Zionis tercapai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, ABIM juga konsisten berpegang teguh kepada penubuhan negara Palestin yang berdaulat dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara.

Sehubungan itu katanya, ABIM mendesak kepada semua negara untuk bertindak atas kepentingan kemanusiaan serta kesedaran berbanding kepentingan ekonomi dan perdagangan dengan pihak Washington semata-mata.

"Justeru dengan tegas ABIM menggesa masyarakat antarabangsa serta semua pihak yang cintakan keamanan termasuk kerajaan Malaysia untuk menyelar tindakan UAE ini sebagai satu tindakan yang menjatuhkan maruah rakyat Palestin dan umat Islam dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!