SPR sahkan tiga calon bertanding PRK DUN Slim

AZMI. FOTO: BERNAMA
AZMI. FOTO: BERNAMA
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan seramai tiga calon akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim (N58) yang dijadual berlangsung pada 29 Ogos ini.

Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom berkata, tiga calon itu ialah Mohd Zaidi Aziz daripada Barisan Nasional (BN) serta dua calon bebas iaitu Santharasekaran Subramaniam dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

"Kita menerima kertas pencalonan bagi ketiga-tiga calon itu sebelum tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi hari ini. Tempoh berkempen bermula sehingga jam 11.59 malam 28 Ogos ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, SPR juga menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap garis panduan pencegahan koronavirus (Covid-19) ini.

Menurutnya, ia selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, SPR juga menyediakan surat aku janji untuk ditandatangani oleh calon yang mengandungi 10 janji mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan mana-mana undang-undang serta peraturan yang berkaitan sepanjang tempoh berkempen.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuka bilik gerakannya di Pejabat SPRM Meru, Ipoh, Perak dan akan beroperasi selama 24 jam. Pegawai SPRM juga akan melakukan pemantauan di lapangan.

"Calon dibenarkan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, bahan kempen yang mengandungi perkataan sensitif, berunsur perkauman dan tidak dibenarkan selain perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan ceramah.

Dalam pada itu Azmi berkata, SPR melantik seramai 40 pemerhati pilihan raya daripada 11 organisasi (agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan(NGO) dan tiga individu yang berkelayakan) untuk memantau perjalanan proses pilihan raya ini.

Katanya, SPR menjangkakan kira-kira 70 peratus keluar mengundi untuk PRK kali ini.

"SPR akan terus melaksanakan penambahbaikan seperti memaklumkan kepada pengundi untuk keluar mengundi pada waktu yang digalakkan seperti tercatat pada voter's card bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan penjarakkan fizikal dapat dilaksanakan.

"Di samping itu garis panduan pencegahan wabak Covid-19 juga akan turut dikuatkuasakan di pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!