Tinggalkan kerjaya guru untuk jadi calon
TANJUNG MALIM - Calon Bebas, S Santharasekaran sanggup meninggalkan kerjaya sebagai guru untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang dijadualkan 29 Ogos ini.
Ketika ditanya pemberita mengenai keputusan itu, Santharasekaran, 44, yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020 berkata, ia keputusan dan masa yang tepat untuk dirinya membabitkan diri dalam politik.
"Ya semestinya (sudah berhenti) jika tak, takkanlah saya boleh jadi calon, terakhir (guru) pada 14 Ogos (semalam).
"Mungkin inilah masa saya, umur yang sesuai untuk libatkan diri dalam politik," katanya selepas proses penamaan calon PRK DUN Slim di Dewan Sri Tanjung Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini hari ini.
Anak jati tempatan dari Behrang itu juga aktif sebagai aktivis alam sekitar dan merupakan Presiden Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam).
Menurutnya, keputusannya menjadi calon PRK DUN Slim bukanlah bertujuan untuk memecahkan undi tetapi atas semangat demokrasi yang menjamin pilihan raya telus, malah segala perjalanan kempen sepanjang PRK ini dibiayainya sendiri.
"Saya di sini bukan nak pecahkan undi, ini memang cita-cita saya bila usia capai 45 tahun, fokus adalah kepada politik dan tiada tajaan, saya guna wang sendiri untuk tujuan ini," katanya.
Santharasekaran berkata, aspek pendidikan dan kepentingan alam sekitar akan menjadi fokus utama beliau sepanjang kempen PRK ini.
"Alam sekitar elemen sangat penting dalam kehidupan kita dan dan kita perlu didik semua orang untuk lebih menghargainya.
"Kita tak mahu dikelilingi orang bijak pandai tetapi tidak peduli mengenai alam sekitar, jadi ini akan jadi fokus saya pada PRK ini," katanya.
Santharasekaran yang menggunakan simbol buku menjadi individu pertama mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.02 pagi.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.
Calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Slim bakal dicabar Santharasekaran dan seorang lagi calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili parti baharu ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
SPR menetapkan pengundian awal bagi PRK DUN Slim pada 25 Ogos manakala hari mengundi pada 29 Ogos membabitkan 23,094 pengundi iaitu 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas.
ARTIKEL BERKAITAN: Pertandingan tiga penjuru di PRK DUN Slim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!