Masa terbaik Messi tinggalkan Barcelona
LEGENDA Manchester United, Rio Ferdinand menyarankan Lionel Messi keluar dari Barcelona setelah kekalahan memalukan 8-2 The Catalans kepada Bayern Munich pada saingan suku akhir Liga Juara-Juara di Estadio da Cruz, Lisbon awal pagi tadi.
Pemenang Ballon d'Or enam kali, Messi kelihatan semakin kecewa di Nou Camp sejak kebelakangan ini sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa dia seakan mahu menjauhkan diri dari gergasi La Liga itu.
Pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan kelab sensasi Serie A, Inter Milan manakala dikhabarkan juga berlaku pertemuan antara dia dengan bekas pengendali Barca, Pep Guardiola di Manchester City.
Lantaran itu, bekas benteng The Red Devils, Ferdinand yakin penyerang Argentina itu akan mempertimbangkan kembali mengenai masa depannya setelah kegagalan di pentas Liga Juara-Juara menyaksikan Barcelona melabuhkan tirai musim ini tanpa sebarang kejuaraan buat penyokong The Catalans.
"Apakah Messi ingin menghabiskan masanya dengan memakai jersi berlencana Barcelona berdasarkan persembahan dan kualiti skuad jika dibandingkan dengan kelab besar lain di seluruh Eropah?.
"Bola sepak adalah permainan yang berjalan sangat cepat dalam hidup anda, jadi untuk dua tahun ke depan apakah Messi masih mempunyai kekuatan untuk mempengaruhi permainan seperti sekarang?," kata Ferdinand selepas perlawanan.
Sementara itu, bekas Presiden Inter Milan, Massimo Moratti menegaskan bahawa kelab Itali itu memiliki kekuatan sumber yang cukup untuk merekrut Messi.
Gergasi Serie A kendalian Antonio Conte telah mmperkukuhkan kekuatan kewangan dalam beberapa jendela perpindahan terakhir dengan sokongan pemilik Suning Holdings Group, yang bersedia membelanjakan lebih banyak dana bagi memburu kejuaraan.
Menurut Moratti: "Saya hanya peminat dan saya tidak mempunyai berita rahsia tetapi saya tahu satu perkara.
"Dalam hal berkaitan sumber ini, Suning memiliki apa yang diperlukan untuk membawa pemain Argentina itu ke Milan."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!