Pulau Pinang belum bercadang laksana PKPD
BUKIT MERTAJAM - Kerajaan negeri Pulau Pinang belum ada cadangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Kedah dan Perlis berikutan terdapat beberapa kes positif koronavirus (Covid-19) di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini penularan wabak berkenaan di negeri ini masih lagi terkawal dan pihak berkuasa telah mengambil langkah yang perlu untuk memastikan ia tidak terus merebak.
“Setakat ini, kita rasa belum sampai ke peringkat yang mana ada begitu banyak kes dan perlu dikenakan PKPD disebabkan ada satu kes (baharu) di barat daya," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan Ladang Vanila Pintar Pertama Malaysia di Permatang Pauh Agro Park, di sini hari ini.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap semua lapisan masyarakat di negeri ini sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain mementingkan kebersihan diri.
Setakat 13 Ogos, Covid-19 di Pulau Pinang telah merekodkan sebanyak 126 kes dengan 121 kes sembuh, satu kematian dan lima kes yang masih aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!