Anjing diseksa, dibunuh sebelum dimakan?

Video warga asing yang menyiksa anjing tular dan dikecam netizen.
Video warga asing yang menyiksa anjing tular dan dikecam netizen.
A
A
A

KUANTAN - Kejam, melampau dan tidak sepatutnya berlaku di sini. Itu antara reaksi netizen terhadap rakaman video memaparkan tindakan tidak berperikemanusiaan beberapa lelaki dipercayai warga asing yang menyiksa seekor anjing sebelum dibunuh.

Video berdurasi 3.48 saat yang tular hari ini dikatakan dilakukan pekerja warga asing dalam sebuah kilang di sini.

Bagaimanapun lokasi sebenar tidak dapat disahkan sama ada di sini seperti yang didakwa atau di tempat lain.

Berdasarkan rakaman itu, tiga lelaki dilihat mengantung haiwan berkenaan sambil menyimbah air sebelum dipukul hingga mati menggunakan sebatang besi.

Kejadian disaksikan beberapa lelaki dipercayai pekerja warga tempatan dan dirakam sebelum video tersebut ditularkan.

Dipenghujung rakaman, kelihatan lelaki warga asing berkenaan menyimbah air panas bagi tujuan membuang bulu haiwan tersebut.

Rata-rata netizen tidak boleh menerima perbuatan kejam tersebut apatah lagi sekiranya haiwan itu dibunuh untuk dimakan.

Seorang netizen yang tidak berpuas hati memberi komen, “Kalau ye pun makanan mu, kasi mati dulu la awal-awal, ni hidup-hidup mu bakar,”.

Artikel Berkaitan:

Malah ada yang turut mempersoalkan tindakan pihak yang merakam dan menyebar video terbabit.

“Sah-sah yg merakam ni pun akan kena tindakan. Membiarkan benda ni berlaku..kejam wei..”komen salah seorang netizen.

Tidak kurang juga yang minta pihak berkuasa termasuk polis dan jabatan veterinar menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, beliau tidak dapat mengesahkan berhubung kejadian sama ada berlaku di sini seperti yang ditularkan atau di tempat lain.

“Sekiranya ada laporan dibuat mana-mana pihak, kita akan menjalankan siasatan berdasarkan laporan diterima sebelum mengambil sebarang tindakan,”katanya ketika dihubungi si sini, hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!