Petani rugi hasil tanaman kontan dilanda banjir
SUNGAI PANJANG - Kira-kira 50 petani di kawasan Sungai Panjang di sini mengalami kerugian ribuan ringgit apabila tanaman mereka rosak ditenggelami banjir.
Hujan berterusan selama lapan jam bermula jam 1 pagi semalam itu mengakibatkan beberapa kawasan tanaman kontan dan sayuran seperti pisang, tembikai, jagung, tebu dan bendi digenangi air setinggi 0.5 meter hingga 0.8 meter.
Seorang penanam pisang, Arbain Sadri, 34, berkata, tanaman pokok pisang seluas 1.8 hektar yang diusahakan sejak tahun lalu bagi menggantikan tanaman padi itu dinaiki air setinggi paras buku lali.
"Pokok ini baharu tuai 45 peratus sahaja tetapi risau jika keadaan berlarutan menyebabkan akar pokok pisang rosak dan hasil pengeluaran merosot," katanya kepada Sinar Harian.
Arbain berkata, dia yang mengusahakan tanaman di Parit 10 Sungai Panjang terpaksa menggunakan pam air bagi menyedut air keluar ke parit berhampiran.
"Saya khuatir pokok pisang jenis berangan dan nangka yang dinaiki air ini tidak tahan penyakit dan mudah diserang kulat," katanya.
Seorang lagi pengusaha tanaman pisang dan tembikai, Mohd Hafiz Zakaria, 36, berkata, banjir yang melanda kebun sewanya itu memusnahkan tanaman tembikai dan pisang yang baharu berusia 70 hari.
Katanya, kejadian itu mengakibatkan tanaman tembikai yang mula berbuah terendam dan kebanyakannya mula membusuk.
"Keadaan ini amat merisaukan saya, apatah lagi hanya bergantung harap kepada sumber pendapatan ini menampung kos sara hidup apatah lagi kedua-dua tanaman masih belum mengeluarkan hasil," katanya.
Menurutnya, keadaan lebih sukar apabila terpaksa membayar sewa tanah RM1,500 semusim kepada pemilik tanah.
"Kita harap kerajaan dapat membantu mengurangkan beban petani seperti menyediakan subsidi baja dan racun," katanya.
Peraih hasil pertanian, Mohd Azlan Sani berkata, permintaan terhadap hasil pertanian meningkat namun hasil pengeluaran terjejas berikutan banjir sejak semalam.
Katanya, banyak hasil pertanian tidak dapat dijual kepada pembeli akibat daripada kejadian terbabit.
"Kita berharap agar perkara ini dipandang serius kerajaan terutama di kawasan tanaman yang terjejas teruk hingga mengakibatkan pemasaran produk pertanian ini terganggu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!