Siapa kata BN tidak laku, kata Najib
TANJUNG MALIM - “Siapa kata Barisan Nasional (BN) tidak laku. Parti yang sudah banyak berjasa sejak lebih 60 tahun membangunkan negara dan melahirkan gagasan Felda,” demikian kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, Rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dibangunkan sejak tahun 1956 kini telah berubah wajah dengan hasil usaha gigih peneroka-peneroka.
“Allahyarham ayah saya (Tun Razak Hussein) pengasas Felda. Generasi pertama tentu ingat Felda diwujudkan sebab nak basmi kemiskinan, bagi tanah kepada orang miskin dan beri kehidupan baharu.
“Hari ini mana-mana masuk Felda tiada lagi bentuk rumah asal. Siapa kata Melayu malas, Melayu tidak malas. Tuan-tuan telah membangunkan tanah 4.0468 hektar ini sehingga dapat mengecap kehidupan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Santai Bersama Bossku di Pusat Daerah Mengundi Felda Besout 1, di sini hari ini.
Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN berkata, rakyat sudah boleh menilai sendiri dengan merasai perbezaan antara dua kerajaan sebelum ini.
“Hari ini ayat paling disebut tertera dalam Facebook ‘kami rindu zaman BN’. Jadi, rindu zaman BN pilihlah calon kita.
“Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kita minta lagi cepat lagi baik tetapi kita tidak tahu bila. Ini persediaan dan ini pembuka tirainya.
“Kita bagi isyarat kepada orang kita, kepada orang atas pagar bahawa masa sudah tiba. Kita kembalikan orang yang tahu mentadbir negara. Kita jangan termakan dengan hasutan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!