Morbidelli teruja harungi perlumbaan
SETELAH menamatkan Grand Prix (GP) Republik Czech di pentas podium minggu lalu, pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli begitu teruja untuk mengharungi perlumbaan di GP Austria, hari ini.
Pelumba Itali itu berkata, dia menyasarkan untuk menamatkan perlumbaan kali ini pada kedudukan kelima terbaik, apabila bakal memulakan perlumbaan pada petak ketujuh.
Menurutnya, biarpun bermula pada petak ketujuh, ia dilihat sebagai satu kedudukan yang baik dan dia akan cuba memikirkan sesuatu (strategi) pada sesi memanaskan badan (warm up), sebelum perlumbaan bermula.
“Bagi saya memulakan perlumbaan pada petak ketujuh adalah sesuatu yang baik untuk saya memulakan perlumbaan hari ini.
“Sekurang-kurangnya kami tidak terlalu jauh dengan kedudukan teratas. Pada sesi kelayakan semalam, hampir kesemua pelumba mencatatkan masa yang tidak jauh bezanya.
“Apa pun, saya sudah tidak sabar untuk memulakan perlumbaan hari ini dan seterusnya merealitikan sasaran saya,” katanya.
Untuk rekod, Morbidelli sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan kedua di belakang pelumba KTM Red Bull Racing, Brad Binder pada GP Reppublik Czech, minggu lalu.
Sementara rakan sepasukan, Fabio Quartararo berkata, pihaknya telah bersedia bagi mengharungi perlumbaan hari ini bagi memperbaiki pencapaiannya setelah hanya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketujuh, di Litar Brno minggu lalu.
Katanya, perlumbaan kali ini juga dijangka menarik kerana begitu ramai pelumba yang mahu merebut kedudukan podium.
“Tahun lalu, saya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga di Litar Red Bull Ring ini; dan kali ini saya sasarkan untuk sekali lagi menaiki podium,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!