Kerajaan galak pengusaha bukan Islam peroleh sijil halal JAKIM

Mujahid (tiga kanan) dan Hasnul Zulkarnain (dua kanan) menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada 100 masyarakat Cina di Pekan Baru, Parit Buntar petang tadi.
Mujahid (tiga kanan) dan Hasnul Zulkarnain (dua kanan) menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada 100 masyarakat Cina di Pekan Baru, Parit Buntar petang tadi.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggalakkan lebih ramai pengusaha makanan bukan islam mendapatkan sijil halal yang diperakui jabatan itu bagi mengelakkan keraguan status halal di mana-mana premis makanan dimiliki mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, galakan itu disyorkan bagi memperkasakan konsep halal berteraskan syariah Islam dalam kalangan pengusaha bukan Islam yang mana premis mereka turut dikunjungi pelanggan beragama Islam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan syarat perolehan status sijil halal bagi mana-mana premis makanan dimiliki pengusaha bukan Islam perlu mengikut sepenuh standard dan peraturan ditetapkan JAKIM termasuk mesti memenuhi tuntutan agama Islam.

"Isu perolehan sijil halal daripada JAKIM adalah jelas, di mana proses pembuatan makanan daripada premis yang memohon mesti mengikut sepenuhnya cara Islam.

"Sekarang ini, banyak isu penipuan penggunaan status halal berlaku kepada segelintir premis makanan dimiliki pengusaha bukan Islam dan perkara ini sebenarnya bukan sekadar tanggungjawab JAKIM, tetapi turut digalas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Justeru kita akan menggalakkan lebih ramai pengusaha premis makanan bukan Islam untuk mendapatkan status halal.

"Dengan cara itu, barulah pelanggan Islam boleh menikmati makanan disediakan mereka tanpa was-was," katanya pada majlis sumbangan Tahun Baharu Cina kepada 100 penerima masyarakat Cina memerlukan kawasan Pekan Baru, di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Perak dan Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

Artikel Berkaitan:

Mujahid berkata, pihaknya melalui JAKIM akan mengadakan pertemuan dengan semua pengusaha makanan beragama Islam dan bukan Islam dalam masa terdekat bagi menggalakkan konsep perakuan halal dalam kalangan mereka.

Katanya, ketika ini sudah ada beberapa pengusaha makanan bukan Islam datang ke pejabat JAKIM bagi menyatakan minat mendapatkan sijil perakuan halal untuk premis makanan mereka.

"Sebenarnya inisiatif mendapatkan sijil perakuan halal memberi nilai tambah kepada pengusaha makanan di negara ini memandangkan industri halal kini mendapatkan permintaan sangat luas di luar negara terutama negara Jepun dan Australia.

"Selain itu, ramai yang kurang tahu, majoriti pengusaha makanan di negara ini yang mendapatkan status perakuan sijil halal JAKIM adalah daripada kalangan bukan Islam seperti pengeluar produk Mamee dan sebagainya.

"Bagi perancangan jangka masa panjang, JAKIM bakal mewujudkan satu program khas dinamakan Program Halal Usahawan Bumiputera bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha makanan beragama Islam merebut peluang mendapatkan status perakuan sijil halal dari jabatan itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!