'Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional dialu-alukan'

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) dilihat sebagai keputusan tepat bagi mengembalikan roh perjuangan membangunkan negara.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penyertaan Bersatu dalam MN merupakan sejarah yang cukup bermakna kepada politik dan negara.

"Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sangat ikhlas membuat keputusan penyatuan dalam MN. Saya sebagai Ketua Penerangan UMNO Johor sangat mengalu-alukan langkah Bersatu.

"Kita juga mengajak semua pihak yang masih berpendirian dan mempunyai persepsi berbeza supaya terima keputusan ini dengan lapang dada.

"Ini kerana ia adalah langkah permulaan sangat baik untuk laksanakan tanggungjawab lebih besar pada negara," katanya selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sebuah hotel di sini malam tadi.

Abdullah Husin
Abdullah Husin

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin; Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

Turut serta, 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) merangkumi 14 ADUN UMNO, Bersatu (11), MIC (dua) dan Pas dengan satu kerusi serta Bebas (satu).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdullah Husin berkata, penyertaan Bersatu dalam MN akan meningkatkan lagi perpaduan sesama parti.

"Sememangnya, kita (Pas) di peringkat Persekutuan dan negeri menjadi penenang, pendamai dan tiada apa-apa kepentingan. Malah kita sudah menemui semua pihak sebelum ini lagi supaya mengukuhkan perpaduan antara ummah," katanya.

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan majlis tertinggi parti itu bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung PN sebagai gabungan besar atau 'the grand coalition'

Muhyiddin berkata, beliau percaya bahawa penyertaan dalam MN adalah pilihan terbaik untuk parti itu kerana berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!