Sayur, buah tanpa permit dari Thailand dirampas
RANTAU PANJANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan merampas sayur dan buah-buahan segar seberat 6.3 tan ke negara ini dari Thailand tanpa permit sah di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Rampasan itu dilakukan Maqis Kelantan selepas berjaya menahan empat buah lori yang melakukan perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Pengarah Maqis negeri, Mohd Azam Yahya berkata, dalam operasi tersebut pihaknya turut merampas 30 kilogram (kg) ikan bilis.
"Nilai keseluruhan rampasan barangan itu membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM9,400," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kebanyakan kesalahan yang dilakukan oleh syarikat sama iaitu tidak mematuhi peraturan ditetapkan oleh Maqis.
Katanya, tindakan itu memperlihatkan sikap 'keras kepala' syarikat berkenaan.
"Maqis Kelantan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau syarikat yang sengaja melanggar peraturan," katanya.
Mohd Azam berkata, Maqis Kelantan sentiasa memandang serius dan tindakan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.
Katanya, langkah itu bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!