Pique sedia beri laluan
GERARD Pique menawarkan diri untuk meninggalkan Barcelona berikutan kekalahan memalukan 8-2 kepada Bayern Munich pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara di Estadio da Luz, kelmarin.
Gergasi Catalan itu melakar malam yang paling memalukan dalam sejarah kelab setelah diaibkan persembahan cemerlang juara Bundesliga berkenaan.
Tonggak pertahanan berusia 33 tahun itu yang membuat 543 penampilan bersama Barcelona mengakui bekas juara lima kali Liga Juara-Juara berada pada tahap terendah berikutan kekalahan itu.
“Di kelab ini tidak ada siapa yang tidak dapat disentuh termasuk saya. Secara jujur Barcelona memerlukan pemain dan semangat baharu.
“Inilah masanya kita semua perlu merenung dan melihat apa yang terbaik untuk Barca. Jurulatih dan pemain mengikuti satu sama lain, tetapi sudah beberapa tahun kami kurang memberi impak positif semasa bersaing di peringkat Eropah.
“Kita semua harus berfikir secara dalaman dan memutuskan apa yang terbaik untuk untuk Barca. Kelab memerlukan perubahan. Dan saya tidak bercakap di peringkat jurulatih atau pemain, tetapi secara struktur kelab memerlukan perubahan pelbagai jenis.
“Kita mesti membawa semangat baharu untuk mengubah dinamik ini, dan saya akan menjadi orang pertama yang pergi jika perlu.”
Sementara itu, Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu berkata: “Ini adalah kekalahan yang teramat memalukan buat kelab ini.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Bayern Munich yang hebat dan cemerlang serta luar biasa.
“Kami tidak berada di tahap terbaik, jauh sekali menghampirinya. Kami ingin meminta maaf kepada penyokong, ahli dan Barcelonistas.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!