Tindakan tegas rumah ibadat bukan Islam di Kedah jika tak patuh SOP
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana rumah ibadat bukan Islam di Kedah yang tidak mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Dr Robert Ling Kui Ee berkata, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap pengoperasian rumah ibadat bukan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Beliau berkata, kemunculan pelbagai kluster Covid-19 ketika ini antaranya Kluster Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sala amat menggerunkan semua.
"Untuk itu rumah ibadat bukan Islam yang mengadakan apa-apa upacara keagamaan sama ada di kuil, tokong dan sebagainya hendaklah akur dan patuh sepenuhnya SOP yang ditetapkan.
"Pihak berkuasa akan bertindak tegas tanpa kompromi bagi mana-mana individu atau rumah ibadat bukan Islam yang ingkar kepada arahan ini," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, pemantauan berterusan terhadap 65 rumah ibadat bukan Islam berdaftar akan terus dilakukan oleh pegawai-pegawai pemantau dari Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kedah.
"Jadi rakyat Kedah khususnya digesa mematuhi SOP dalam aktiviti kehidupan serta mengamalkan penjagaan kesihatan kendiri dengan amalan normal baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!